[KOLUMNIS] Oleh: Juzaili Azmi
Bahagian Pertama
Krisis Tenaga: “Wake Up Call” buat semua
1. Ketidakstabilan di Timur Tengah—khususnya ketegangan yang semakin memuncak di Iran—merupakan gegaran yang dirasai di setiap kilang, perniagaan dan seisi rumah di seluruh dunia. Harga minyak yang meningkat sehingga ke 100–110 dollar Amerika se tong hari ini telah mengakibatkan banyak implikasi pada kos harian dan juga krisis tenaga yang meruncing akibat kekurangan stok. Harga minyak telah meningkat sehingga 40% sejak serangan ke atas Iran berlaku.
2. Kerajaan Filipina telah pun mengisytiharkan darurat tenaga yang mengakibatkan kawalan penjualan minyak kepada orang awam setelah langkah m penjimatan dikeluarkan oleh kerajaan Korea Selatan, Jepun, Thailand dan Vietnam. Rusia juga telah mengeluarkan arahan untuk melarang eksport petroleum bermula 1 April bagi menstabilkan harga pasaran lokal dan mengutamakan bekalan bagi permintaan dalam negara menurut sumber berita Xinhua dengan memetik agensi berita Rusia, TASS.
3. Dengan 20% minyak dunia terganggu akibat selat Hormuz dikawal oleh Iran, ditambah pula dengan kemungkinan tambahan 12% lagi setelah pihak Houthi Yaman memberi gambaran akan mengawal Selat Bab al-Mendeb yang merupakan pintu keluar masuk Laut Merah yang juga merupakan laluan penting kapal kargo dari Terusan Suez yang menghubungkan Asia dan Eropah, harga pasaran global sudah pasti akan melambung tinggi dan stok minyak dan barangan lain pula akan semakin berkurangan.
4. Sudah terlalu lama kita menyerahkan keselamatan tenaga kita kepada pasaran global, dan kita tidak punya banyak pilihan dan terpaksa menerima hakikat ini semata-mata demi kemandirian dan menggadaikan daya tahan demi mengejar kemudahan jangka pendek.
Tenaga Angin: Penyelesaian Krisis Tenaga dan Mengapa ASEAN Mesti Membina “Koridor Hijau Bersama”
5. Atas apa yang berlaku hari ini, sudah sampai masa kita melihat kepada sumber baru tenaga yang membantu kita menghadapi krisis seperti ini. Kita kini berdiri di pinggir sumber tenaga boleh baharu yang paling teguh di dunia: angin. Angin pesisir pantai (offshore wind) bukan sekadar “alternatif” kepada bahan api fosil; ia adalah pengganti. Ia boleh diskalakan, mampu menampung beban asas (baseload), dan yang paling penting, ia adalah sumber yang tidak akan putus.
6. Walau bagaimanapun, bukan semua tempat sesuai mempunyai kekuatan angin yang diperlukan bagi menjana tenaga untuk disalurkan kepada pengguna di daratan. Secara amnya, kita memerlukan sekurang-kurangnya sumber angin kelas 3 iaitu sekitar 6.4-7.0 m/s pada ketinggian 80 m dari paras laut untuk dipertimbang bagi membina skala utiliti ladang angin pesisir pantai. Tanpa angin yang konsisten, pengurusan tenaga melibatka tenaga angin menjadi sangat rumit dan tidak efektif.
7. Di kawasan ASEAN sahaja, dipercayai terdapat kira-kira 1,000 Giga Watt potensi tenaga angin pesisir pantai yang boleh dituai terutama di kawasan Vietnam dan Filipina menurut kajian The World Bank, Energy Sector Management Assistance Program (ESMAP) melalui data satelit yang dikongsi mereka di laman web Global Wind Atlas. Ini bersamaan dengan 3.3 kali lebih besar kapasiti berbanding jumlah keseluruhan kapasiti tenaga yang diperlukan negara ASEAN ketika ini iaitu sekitar 300 GW (sumber ASEAN Centre for Energy (ACE)).
8. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menuai sumber ini secara berasingan. Kos yang tinggi, teknologi yang kompleks, serta infrastruktur dasar laut adalah terlalu besar untuk ditangani oleh mana-mana negara ASEAN secara bersendirian. Kekuatan kita terletak pada kesatuan dan di sinilah ASEAN boleh mewujudkan satu kerjasama antara semua negara ahli bagi membina rizab tenaga masa depan. Kita mesti beralih daripada rangkaian grid nasional yang terpisah kepada satu “Koridor Hijau” ASEAN yang bersepadu.
Cabaran Utama Perlaksanaan
9. Dua cabaran utama perlu diuruskan dalam memastikan usaha ini menjadi kenyataan. Pertama, soal undang-undang dan regulasi perlaksanaan yang perlu dipersetujui oleh kesemua negara ASEAN terlibat. Perjanjian Tripatite antara Vietnam, Malaysia dan Singapura pada tahun 2025 bagi membangunkan tenaga angin pesisir pantai berkapasiti 2GW di Vietnam boleh dijadikan sebagai asas bagaimana perjanjian dengan skala yang lebih besar boleh dibuat seperti mana juga model yang telah dibuat di Eropah melalui North Sea Wind Power Hub (NSWPH), suatu inisiatif yang dipelopori oleh Konsortium yang terdiri daripada operator sistem transmisi di sana seperti Tennet (Belanda/Jerman) serta Energinet (Denmark). Mereka menggunakan konsep ”Pulau Tenaga” bertindak sebagai hub sentral yang menggabungkan ribuan turbin di Laut Utara (North Sea) yang menjana tenaga buat seluruh Eropah dan UK.
10. Seperti mana di Eropah, kita juga boleh membina model yang sama dan Pulau Tenaga ini boleh dihubungkan oleh jaringan kabel grid dasar laut ke semua negara terlibat. Satu gelung/grid serantau (regional loop/grid) boleh diwujudkan dengan menghubungkan ladang angin Vietnam ke Malaysia dan Filipina seterusnya meningkatkan daya tahan sebagai satu Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid- APG) yang selamat.
11. Cabaran kedua pula ada faktor kos pengurusan dan pembinaannya yang sangat tinggi. Dengan adanya kerjasama secara rasmi, ASEAN boleh mewujudkan Kerangka Pembiayaan Luar Pesisir Bersama di bawah satu konsortium atau badan bersama yang boleh mewujudkan Dana Tenaga Boleh Ubah ASEAN (ASEAN Renewable Fund) di mana negara seperti Malaysia dan Singapura boleh bertindak sebagai penyumbang kapital utama untuk projek angin pesisir pantai di Vietnam dan Filipina.
12. Dengan menubuhkan Usahasama (JV) pelbagai hala, kita mengubah cabaran geografi bersama menjadi kelebihan strategik yang bersepadu. Kita bukan sekadar membina ladang angin; kita sedang membina aset bernilai berbilion-bilion ringgit yang menjamin masa depan ekonomi kita di mana Malaysia boleh memanfaatkan kedudukan geografi dan pengalamannya dalam sektor tenaga untuk menguruskan transit tenaga (wheeling), penyimpanan, dan hab penyelenggaraan dasar laut (subsea) khusus buat sektor tenaga angin pesisir pantai yang akan diusahakan ini.
13. Sudah tiba masanya untuk satu langkah yang nekad. Malaysia berada di posisi yang cukup unik untuk menerajui perjuangan ini, demi memastikan masa depan tenaga yang mampan dan terjamin buat kita semua. APAC Wind Energy Summit pada 9-11 Jun ini bakal menjadi batu loncatan buat kita—saat untuk kita menyatukan pemimpin ASEAN, pelabur, dan gergasi industri demi perjuangan ini.
14. Usaha ini saya namakan sebagai “Project Lighthouse”.
P.Geol Juzaili Azmi
COO Ugeo Solutions Sdn Bhd.
