PEMBANGKANG BERSATU; KETUA-KETUA PARTI PEMBANGKANG BINCANG PENUBUHAN BARISAN RENTAS PARTI

Kuala Lumpur, 18 Julai 2025 – Pengerusi Perikatan Nasional PN, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin hari ini mengadakan perbincangan bersama ketua-ketua parti blok bukan kerajaan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti.

Menurut YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, barisan rentas parti itu dicadangkan bagi mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara serta memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti-parti pembangkang di dalam dan di luar Parlimen.

Antara pimpinan yang hadir dalam pertemuan petang ini ialah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Presiden Parti GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali; Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan a/l Subramaniam; Pemangku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), YB Amira Aisya; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Haji Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P Ramasamy; dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.

Tan Sri Muhyiddin memaklumkan bahawa semua yang hadir telah memberikan maklum balas yang amat positif terhadap cadangan tersebut.

“InsyaAllah, saya akan membawa pandangan-pandangan yang diutarakan dalam pertemuan ini ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.