KERAJAAN PERPADUAN ‘PANIK’, MUHYIDDIN ADAKAN PERTEMUAN SANTAI DENGAN KETUA PARTI BLOK PEMBANGKANG

PUTRAJAYA, 20 JULAI 2025 – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mendakwa kerajaan perpaduan berada dalam keadaan ‘tersakiti’ apabila Presiden Pengasas BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengadakan pertemuan santai bersama ketua-ketua parti luar blok kerajaan baru-baru ini.

Menurut beliau, pertemuan tersebut turut dimaklumkan kepada Pas dengan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mengesahkan ketidakhadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah kerana beliau berada di Kedah pada waktu itu. “Pertemuan ini sekadar minum kopi santai, tetapi mereka di pihak sana pula yang terasa sakit,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut membidas Ketua UMNO Bahagian Kepong, Razak Boss, kerana gagal memahami perbezaan antara pertemuan santai ketua-ketua parti dengan tindakan yang dianggap mengkhianati dasar parti apabila menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. “Dia tak faham beza pertemuan santai minum kopi dengan tindakan khianat dasar parti demi menjadikan bekas banduan rasuah dan liwat itu sebagai PM,” katanya.

Tambahnya lagi, Tan Sri Muhyiddin kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dengan sokongan penuh parti komponen termasuk Pas, dan kepimpinannya berbeza dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang didakwa pernah mengkhianati keputusan Ahli Parlimen BN dalam isu pembentukan kerajaan pada November 2022. “TS Muhyiddin sentiasa bertindak berdasarkan perlembagaan PN dan semangat muafakat. Ini jauh berbeza dengan Zahid Hamidi yang mempersembahkan surat palsu kepada YDPA tanpa keputusan sebenar Ahli Parlimen BN,” tegas beliau.

Beliau menegaskan bahawa pertemuan santai tersebut tidak mengikat mana-mana pihak, berbeza dengan tindakan kerajaan perpaduan yang menurutnya menipu Yang di-Pertuan Agong dan pengundi UMNO demi membentuk kerajaan bersama DAP. “Mereka sanggup menyamak dan mensucikan DAP serta mengkhianati agenda Permuafakatan Ummah,” katanya lagi.