KUALA LUMPUR, 30 Julai 2025 – Srikandi BERSATU Malaysia dan Srikandi Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan kes kematian tragis adik Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 yang dipercayai menjadi mangsa buli. Mereka menyifatkan kejadian itu sebagai bukti jelas kegagalan sistem perlindungan pelajar dalam institusi pendidikan.
Ketua Penerangan Srikandi Selangor, Fazilina binti Ismail berkata, pihak sekolah dan individu yang cuai tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab. Beliau turut menuntut agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus serta mendesak agar keadilan untuk Zara dan keluarganya tidak dilengah-lengahkan.
Srikandi turut menggesa Kementerian Pendidikan agar memperkukuh sistem pencegahan buli serta menyediakan bantuan emosi dan guaman kepada keluarga mangsa. Fazilina menegaskan bahawa pihaknya akan terus membawa isu ini ke peringkat nasional agar tidak dilupakan begitu sahaja.
Exco Srikandi BERSATU Malaysia, Hafizah Md Taib pula menekankan bahawa keselamatan pelajar adalah tanggungjawab bersama antara guru, pentadbir, ibu bapa dan masyarakat. Menurutnya, kegagalan bertindak terhadap aduan atau tanda-tanda buli merupakan satu kecuaian profesional yang serius dan tidak boleh dimaafkan.
Sebagai langkah pembaharuan, Srikandi menuntut lima perkara utama: siasatan telus, tindakan tegas terhadap pihak cuai, penggubalan Akta Anti-Buli, penubuhan Suruhanjaya Bebas Pantau Kes Buli Sekolah, serta latihan wajib kepada guru dan pentadbir berkaitan pencegahan buli.
Srikandi menegaskan bahawa tragedi Zara Qairina tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil. Sebaliknya, ia perlu menjadi titik tolak pembaharuan menyeluruh dalam sistem pendidikan demi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.
