SOP JALUR GEMILANG BUKAN ISU; ARMADA SELAR PEMUDA DAP


SEREMBAN, 6 Ogos 2025 – ARMADA BERSATU Negeri Sembilan menyelar kenyataan Ketua Pemuda DAP negeri itu yang mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan SOP rasmi bagi pemasangan Jalur Gemilang di sekolah-sekolah. Menurut ketuanya, Muhammad Adib bin Musa, cadangan tersebut menunjukkan kegagalan sesetengah pihak memahami makna sebenar semangat patriotik.

Beliau berkata, isu utama bukanlah ketiadaan SOP, sebaliknya kegagalan mendalam dalam menanam nilai cinta negara dalam kalangan generasi muda. Menggesa SOP seolah-olah Jalur Gemilang ini memerlukan “manual pemasangan” dilihat sebagai cubaan mengecilkan erti simbol kebangsaan itu sendiri.

“Adakah kita perlukan SOP untuk mencintai negara atau menghormati bendera sendiri? Patriotisme bukan sesuatu yang lahir daripada pekeliling, tetapi dari hati dan kefahaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARMADA Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa garis panduan teknikal bukanlah syarat utama dalam menjulang semangat kebangsaan, sebaliknya hanyalah pelengkap kepada usaha yang lebih besar – iaitu membina mentaliti rakyat yang bangga menjadi warganegara Malaysia. Sekolah yang benar-benar cintakan tanah air, katanya, pasti tahu mengibarkan Jalur Gemilang tanpa perlu disuruh.

Dalam pada itu, Muhammad Adib turut menyeru rakan-rakan politik di blok kerajaan supaya tidak memperkecilkan isu patriotisme dengan menjadikannya persoalan teknikal semata-mata. Beliau menegaskan bahawa semangat cintakan negara harus dipupuk secara menyeluruh, bukan hanya disandarkan kepada peraturan di atas kertas.

“Negara ini dibina dengan darah, keringat dan air mata – bukan sekadar berpandukan SOP,” tambahnya.