RMK13; SAIFUDDIN CADANG PEMBAIKAN SISTEM PENDIDIKAN MENYELURUH, SAMBUT BAIK PRA-SEKOLAH MANDATORI

INDERA MAHKOTA, 8 Ogos 2025 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, menggesa pembaikan menyeluruh sistem pendidikan negara dengan menekankan keperluan mewujudkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang komprehensif.

Berucap membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat baru ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, reformasi yang dicadangkan PN berpaksikan tiga teras utama – Konsensus Pendidikan Nasional Baru, Pembetulan Struktural, dan Reformasi Institusi – bagi membina “Masyarakat dan Negara yang Berteraskan Ilmu”.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), pelan pendidikan itu akan merangkumi lima komponen utama: falsafah dan dasar, aliran dan kurikulum, sumber manusia, penghakupayaan pelajar, serta perundangan dan governans. Antara cadangan yang diketengahkan termasuk pengukuhan TVET, pengimbangan nisbah akademik dan kokurikulum, peningkatan kebebasan akademik, serta penggantian AUKU dengan undang-undang baharu.

Saifuddin turut menyentuh dua dasar baharu dalam RMK13, iaitu pra-sekolah mandatori pada umur lima tahun dan kemasukan Tahun 1 sekolah rendah pada umur enam tahun. Beliau menyokong cadangan tersebut secara prinsip tetapi menggariskan beberapa syarat, termasuk membenarkan tadika swasta terus beroperasi, memberi pilihan kepada ibu bapa, dan memastikan libat urus meluas sebelum pelaksanaan.

“Let kids be kids. Janganlah seawal 5-6 tahun telah terikat dengan bermacam-macam peraturan disiplin sekolah,” katanya, mengingatkan supaya pendidikan awal lebih menekankan asas adab, disiplin, pemakanan berkhasiat dan kemahiran berfikir, bukannya akademik semata-mata.

Dalam perbahasan sama, Saifuddin mengalu-alukan penubuhan Majlis Pendidikan Negara tetapi mahu ia dianggotai oleh semua agensi pendidikan, Jawatankuasa Khas Parlimen, pakar, akademia dan badan masyarakat sivil (CSO).

Keadilan untuk Adik Zara

Saifuddin turut mengulangi gesaannya agar kes kematian pelajar, Adik Zara, disiasat semula. Beliau mendakwa laporan siasatan semasa mempunyai kelemahan ketara termasuk ketiadaan bedah siasat dan bukti material yang tidak mencukupi.

Beliau menyokong permintaan keluarga Zara agar kertas siasatan dikembalikan kepada polis, siasatan dijalankan oleh pegawai berpengalaman dari Bukit Aman, kubur digali semula untuk bedah siasat, dan inkues diadakan.

“Pokoknya, kita mahu agar ditegakkan Keadilan untuk Zara,” tegasnya.