KEPALA BATAS, 15 Ogos – Lebih 1,000 peserta berhimpun di Bertam, Kepala Batas semalam bagi menyertai Himpunan Solidariti Jalur Gemilang sebagai tanda semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan hujung bulan ini.
Perarakan yang dipimpin bersama oleh Ketua Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Hilman Idham dan Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, bermula di tapak pasar malam Pekan Kepala Batas dan berarak sejauh 1.4 kilometer menuju ke sebuah premis kedai peralatan. Sepanjang laluan, peserta mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan slogan “Pertahankan Jalur Gemilang” sebagai simbol sokongan kepada bendera negara.
Namun, suasana aman bertukar tegang apabila beberapa individu dipercayai wakil Lawyers For Liberty muncul di hadapan premis terbabit sambil memegang sepanduk bertulis “Jangan Bersikap Zionist” dan “Kesilapan Bukan Jenayah”. Kejadian itu mencetuskan sedikit provokasi sebelum keadaan berjaya dikawal oleh pihak polis yang sudah bersiap sedia di lokasi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, sebelum ini menasihatkan agar himpunan dibatalkan bagi mengelakkan pertembungan antara kumpulan berbeza pandangan. PDRM turut memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik, dengan 38 laporan diterima di seluruh negara termasuk 17 di Pulau Pinang.
Kehadiran polis dan unit FRU di kawasan berkenaan memastikan tiada insiden lebih serius berlaku. Beberapa peniaga tempatan dilaporkan menutup premis lebih awal ekoran kesesakan dan kebimbangan terhadap keselamatan.
PDRM mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.
