SANJEEVAN KECAM SERANGAN TERHADAP ANAK RAFIZI, DESAK SIASATAN TELUS DAN JUJUR

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Naib Ketua Bersekutu BERSATU Malaysia, Sri Sanjeevan Ramakrishnan mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun merupakan anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang dipercayai dicucuk jarum suntikan dalam kejadian di Putrajaya baru-baru ini. Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan satu bentuk ugutan bacul yang sama sekali tidak boleh diterima.

Menurut Sanjeevan, insiden yang menyasarkan seorang kanak-kanak tidak berdosa itu perlu disiasat segera, secara telus dan menyeluruh. Beliau menegaskan bahawa tiada ibu bapa di negara ini seharusnya hidup dalam kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak hanya kerana penglibatan mereka dalam politik, perkhidmatan awam atau aktivisme.

Beliau turut menggesa pihak polis dan agensi penguatkuasaan menggembleng sepenuhnya sumber risikan serta kekuatan operasi bagi mengesan, menangkap dan mendakwa pelaku jenayah tersebut sehingga ke muka pengadilan. Katanya, serangan terhadap anak Rafizi adalah gambaran bahawa jenayah di Malaysia kini semakin berani, terancang dan melampaui batas.

Sanjeevan turut memetik beberapa insiden jenayah berat yang berlaku kebelakangan ini termasuk penculikan berprofil tinggi, serangan kumpulan kongsi gelap, pembunuhan upahan dan rompakan bersenjata secara terbuka. Situasi itu, katanya, bukan sahaja menghakis keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan negara, malah mencabar kewibawaan undang-undang.

Beliau menegaskan kerajaan tidak boleh hanya bertindak selepas tragedi berlaku, sebaliknya perlu meletakkan keselamatan rakyat, khususnya kanak-kanak, sebagai keutamaan. Cadangan beliau termasuk memperkukuh risikan terhadap rangkaian jenayah terancang, meningkatkan operasi pencegahan di kawasan berisiko tinggi serta menggubal dasar keselamatan awam yang lebih tegas.

“Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi negara di mana rakyat hidup dalam ketakutan. Keadilan mesti ditegakkan, dan mesejnya perlu jelas bahawa setiap bentuk keganasan, ugutan dan jenayah berat akan berdepan dengan tindakan paling keras di bawah undang-undang,” katanya.