BERSATU YAKIN ISU SAYAP DAN BAHAGIAN SELESAI DALAM TEMPOH SEMINGGU- HILMAN IDHAM 

KUALA LUMPUR, 4 MAC 2026 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin isu melibatkan beberapa sayap dan bahagian parti susulan peletakan jawatan pemimpin di peringkat akar umbi dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu.

Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham bercakap kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tengah hari semalam berkata, kepimpinan parti telah mengambil langkah segera bagi memastikan penyusunan semula berjalan lancar tanpa menjejaskan gerak kerja organisasi.

Beliau menegaskan parti berada dalam keadaan stabil dan fokus ketika ini adalah memperkukuh jentera serta memulihkan keyakinan ahli di peringkat bahagian.

Isu berkenaan tercetus susulan tindakan pemecatan Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Hamzah Zainudin, yang didakwa mendorong beberapa ketua dan ahli jawatankuasa bahagian mengambil keputusan meletak jawatan sebagai tanda protes. Perkembangan itu turut dikaitkan akibat terpengaruh dengan naratif tertentu yang dibawa kumpulan Hamzah. 

Pada 21 Februari lalu, Presiden BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah penyusunan semula melibatkan bahagian dan sayap yang terjejas, termasuk pelantikan pemangku ketua serta pembentukan jawatankuasa baharu bagi memastikan pentadbiran parti terus berfungsi.

Satu pasukan petugas khas turut ditubuhkan bagi menyelia proses tersebut, dipengerusikan bersama oleh Naib Presiden BERSATU Dato’ Sri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin, manakala sekretariatnya dipantau oleh Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Azmin Ali.

Dalam pada itu, BERSATU turut memberi jaminan bahawa isu dalaman berkenaan tidak akan menjejaskan persiapan parti menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri di Melaka dan Johor dalam masa terdekat.

Hilman berkata keutamaan parti kini adalah memastikan struktur kepimpinan di semua peringkat kembali mantap serta gerak kerja politik berjalan seperti biasa.