ADUN BERSATU KECAM ISRAEL TAHAN GSF, GESA KERAJAAN MALAYSIA BERTINDAK TEGAS

JERLUN, 2 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, YB Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel yang telah memintas, menaiki secara paksa dan menahan kapal-kapal konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa ketika dalam misi kemanusiaan menuju Gaza. Konvoi itu membawa lebih 500 aktivis dari lebih 40 negara, termasuk rakyat Malaysia, yang kini diancam keselamatan dan kebebasan mereka. Beliau menyifatkan tindakan zalim Israel ini sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan sejagat.

Menurut Ashraf Mustaqim, Israel telah melanggar undang-undang laut antarabangsa yang menjamin kebebasan pelayaran di laut lepas selain menyalahi prinsip San Remo Manual 1994 yang melarang sekatan ke atas barangan asas untuk kelangsungan hidup orang awam. Beliau turut menegaskan tindakan tersebut bercanggah dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 24 Mei 2024 dalam kes Afrika Selatan melawan Israel, yang mewajibkan akses tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza. “Dengan menghalang konvoi ini, Israel bukan sahaja menafikan bantuan kepada rakyat Palestin, malah mencabar kewibawaan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Bahagian Jerlun turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang menyertai misi flotilla tersebut. Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat tidak boleh berdiam diri apabila nyawa rakyat sendiri diancam. “Kita mesti berdiri bersama rakyat Palestin dan dalam masa yang sama memastikan warganegara kita tidak dizalimi atau dicabuli hak mereka,” ujar Ashraf Mustaqim.

Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk segera mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan Israel serta menuntut pembebasan segera semua aktivis termasuk rakyat Malaysia. Beliau juga menggesa Malaysia menggunakan kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bagi memastikan misi flotilla dapat diteruskan sehingga bantuan tiba ke Gaza dengan selamat. Tambahnya, Malaysia wajar mendesak Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, untuk menekan Israel menghentikan pencabulan undang-undang ini, dan jika gagal, Malaysia perlu menyatakan pendirian tegas bahawa kedatangan Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur tidak dialu-alukan.

Ashraf Mustaqim menegaskan isu flotilla ini bukan hanya soal Palestin, tetapi melibatkan prinsip kemanusiaan sejagat, hak asasi manusia dan penghormatan undang-undang antarabangsa. Beliau menutup kenyataannya dengan menegaskan bahawa kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk memastikan keselamatan aktivis terjamin serta misi kemanusiaan ini berjaya. “Dunia mesti faham bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana kuasa yang membiarkan kezaliman berleluasa,” katanya.