KUALA LUMPUR, 2 Okt – Sayap Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Siswa BERSATU hari ini mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel yang menyekat serta menahan kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza.
Dalam kenyataan berasingan, Srikandi Muda BERSATU Malaysia dan Siswa BERSATU menegaskan bahawa tindakan Israel itu merupakan pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang sebelum ini menuntut akses tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan. Mereka menyifatkan penahanan aktivis, termasuk rakyat Malaysia, sebagai tidak berperikemanusiaan dan membahayakan keselamatan nyawa.
Srikandi Muda BERSATU menuntut Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, segera bertindak lebih tegas, mendesak pembebasan semua aktivis serta menggerakkan saluran diplomasi melalui kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. “Malaysia tidak boleh berdiam diri kerana isu ini bukan sekadar soal Palestin, tetapi juga soal kemanusiaan sejagat,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden Siswa BERSATU, Ameer Hazeem Mohd Zaky, menegaskan bahawa flotilla tersebut hanya membawa bantuan kemanusiaan dan tidak seharusnya dianggap ancaman. Beliau menyeru kerajaan menggunakan segala saluran undang-undang dan diplomasi antarabangsa bagi memastikan pembebasan segera aktivis serta perlindungan penuh kepada rakyat Malaysia yang terlibat.
Kedua-dua Sayap dan Biro BERSATU itu sependapat bahawa Malaysia perlu menjadi suara lantang di pentas antarabangsa dalam mendesak dunia bersatu menolak kezaliman Zionis Israel. Mereka menegaskan, keselamatan rakyat Malaysia dan kelangsungan misi kemanusiaan ke Gaza mesti dijadikan kepentingan utama negara.
