MASJID TANAH, 4 Okt – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, menyuarakan rasa kesal terhadap dua isu melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi di bawahnya, Tourism Malaysia.
Dalam satu video dimuat naik di media sosial, beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mempersoalkan tindakan penganjur yang menghidangkan arak secara terbuka dalam majlis rasmi kerajaan sempena pelancaran Kalendar Acara 2026 Tourism Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
“Secara prinsip dan amalan rasmi di Malaysia, arak tidak boleh dihidangkan secara terbuka dalam majlis rasmi kerajaan. Ia bercanggah dengan sensitiviti umat Islam yang merupakan majoriti rakyat dan bertentangan dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Menurutnya lagi, beberapa tetamu beragama Islam yang hadir pada majlis itu dilaporkan tidak selesa dengan keadaan tersebut dan ada yang memilih untuk meninggalkan majlis lebih awal. Mas Ermieyati menegaskan, aspek protokol rasmi kerajaan sepatutnya sentiasa dipatuhi, apatah lagi majlis tersebut turut melibatkan persembahan oleh kanak-kanak sekolah.
Dalam video berasingan, Mas Ermieyati turut mengkritik tindakan Tourism Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan jenama syarikat minuman antarabangsa Starbucks sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Katanya, langkah itu menimbulkan keresahan awam memandangkan jenama syarikat tersebut sering dikaitkan dengan isu sensitiviti berhubung konflik Palestin.
“Belum selesai isu hidang arak, timbul pula cerita Starbucks. Bukankah ini menunjukkan kerajaan tidak sensitif? Dalam keadaan rakyat marah dengan penahanan 23 sukarelawan Malaysia yang mengikuti Global Sumud Flotilla ke Gaza, MOTAC pula buat kolaborasi dengan pihak yang kontroversi,” katanya.
Beliau turut mengecam kenyataan Menteri yang seolah-olah memandang ringan isu hidangan arak dalam ucapan rasmi dengan mengatakan tetamu bebas memilih untuk minum atau tidak. “Mana hilangnya sensitiviti seorang menteri? Sikap hormat langsung tiada dalam kamus,” ujarnya lagi.
Mas Ermieyati mendesak kerajaan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan melibatkan majlis rasmi kerajaan serta kolaborasi strategik supaya tidak mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat, khususnya umat Islam yang merupakan majoriti di negara ini.
