BALIK PULAU, 13 Okt – Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ARMADA BERSATU mengecam keras keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membenarkan empat pelajar tingkatan lima, suspek utama dalam kes rogol bergilir terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Melaka, untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata keputusan tersebut menunjukkan sikap terlalu longgar KPM dalam menangani jenayah serius di sekolah, meskipun kementerian beralasan bahawa pendidikan adalah hak untuk semua.
“Dalam tahun 2025 sahaja, kita dikejutkan dengan kes kematian arwah Zara Qairina akibat buli, peningkatan kes jenayah di sekolah, dan kini kes rogol bergilir. Pelajar hari ini berani melakukan jenayah kerana KPM tidak menunjukkan contoh ketegasan yang sebenar,” ujarnya.
Menurutnya, KPM harus bertindak tegas untuk memastikan keselamatan pelajar di sekolah kerana kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah juga sudah mencapai tahap membimbangkan sejak kebelakangan ini. ARMADA BERSATU juga berharap agar Menteri KPM Fadhlina Sidek tidak hanya pandai mengampu Perdana Menteri dengan slogan “Selamat Hari Lahir PMX, We Love you PMX” sebaliknya membuktikan kepada Perdana Menteri tekad sebenar dalam memerangi kes jenayah di sekolah.
Tambahnya lagi, “ARMADA BERSATU memahami bahawa mereka masih belum didapati bersalah di bawah Seksyen 375(b) Kanun Keseksaan, namun kes ini bukan kes biasa. Ia melibatkan empat pelajar lelaki yang lebih dewasa, perbuatan dirancang rapi — ada yang merogol, ada yang merakam, ada yang mengawal kawasan, dan akhirnya menyebarkan video,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Harris berkata jenayah yang berlaku di dalam bilik darjah itu — tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk menuntut ilmu — telah mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan ibu bapa serta masyarakat. Beliau menegaskan bahawa KPM gagal menunjukkan ketegasan dalam memastikan sekolah bebas daripada ancaman jenayah.
Menurut beliau, ARMADA BERSATU akan terus mendesak agar KPM menilai semula keputusan tersebut dan memastikan keadilan ditegakkan bagi mangsa serta keluarga yang terkesan.
