PARIT BUNTAR, 29 Oktober 2025 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Halim Nayan, mempersoalkan keikhlasan serta kesan sebenar Agreement On Reciprocal Trade (ART) yang dikatakan dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat susulan kedatangan Presiden Trump ke Malaysia hujung minggu lalu.
Beliau menyifatkan hubungan mesra antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai “pelindung diplomatik” yang menutupi hakikat tekanan politik dan ekonomi yang sedang ditanggung Malaysia di bawah kuasa besar dunia itu.
“Rakyat berhak tahu, adakah ART ini satu bentuk penjajahan era baharu? Di sebalik senyuman dan gambar mesra di hadapan kamera, lawatan ini membawa lebih banyak kesan negatif daripada manfaat sebenar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Halim, perjanjian tersebut bukan sahaja menjejaskan kedaulatan ekonomi negara, malah berpotensi mengurangkan kebebasan Malaysia dalam menentukan dasar hala tuju perdagangan sendiri.
Halim turut menegaskan bahawa tindakan kerajaan yang dilihat tunduk kepada tekanan kuasa luar mencalarkan imej Malaysia sebagai negara yang bebas dan berkecuali dalam hal ehwal antarabangsa.
Beliau turut memberi amaran bahawa ART boleh mengundang risiko sekatan atau tindak balas perdagangan daripada negara lain yang tidak bersetuju dengan dasar berat sebelah itu.
“Lawatan ini lebih bersifat gimik politik luar daripada memberi kepentingan sebenar kepada rakyat. Malaysia perlu kekal bebas dan berani mempertahankan maruah negara, bukan sekadar menjadi penonton yang bangga menerima sebatang pen daripada kuasa besar dunia,” katanya sinis.
