PETALING JAYA, 5 November 2025 – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semalam bersidang dan dipengerusikan oleh Presiden Pengasas BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan perkembangan politik semasa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mesyuarat tersebut turut meneliti implikasi Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Amerika Syarikat–Malaysia (ART 2025) yang menjadi perhatian utama parti.
Mesyuarat MPT BERSATU mengambil beberapa ketetapan utama seperti berikut:
1. Persiapan PRN Sabah:
BERSATU bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon-calon berwibawa bagi memastikan PN dapat membentuk kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17.
2. Pelantikan Lembaga Rayuan:
MPT turut melantik lima ahli baharu menganggotai Lembaga Rayuan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azhar Azizan @ Harun. Anggota lembaga berkenaan ialah:
• Datuk Seri Zulkifli Noordin
• Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof
• Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad
• Datuk Fahimee Ismail
3. Perjanjian Perdagangan Malaysia–AS:
BERSATU mendesak kerajaan untuk meneliti semula Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Amerika Syarikat dan Malaysia, dengan menegaskan keperluan memelihara kedaulatan negara dan kebebasan ekonomi masa depan.
4. Isu Dalaman Parti:
MPT turut menzahirkan komitmen untuk menangani masalah dalaman secara kolektif dengan semangat saling hormat-menghormati, persefahaman dan ketegasan mempertahankan Perlembagaan Parti.
5. Masa Depan Parti:
BERSATU beriltizam untuk terus memperkukuh dan memperluas perjuangan parti demi masa depan Malaysia yang bermaruah dan cemerlang.
Mesyuarat malam tadi diadakan susulan Mesyuarat Biro Politik yang berlangsung sebelum itu bagi membincangkan strategi dan langkah politik semasa Perikatan Nasional.
