KUALA LUMPUR, 6 November 2025 — Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap semua pihak yang terlibat dalam kes penculikan Pastor Raymond Koh, selepas Mahkamah Tinggi semalam mengesahkan penglibatan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kejadian tersebut.
Dalam kenyataan medianya, Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu ARMADA BERSATU, Na’im Brundage, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu tamparan hebat kepada kredibiliti kerajaan serta institusi penguatkuasaan negara.
“Ini merupakan kes pertama dalam sejarah negara di mana mahkamah mengesahkan penglibatan langsung kerajaan dalam penculikan warganya sendiri,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar pampasan sebanyak RM37 juta kepada keluarga Pastor Koh, serta RM10,000 sehari sehingga beliau ditemui. Menurut Na’im, keputusan itu bukan sahaja membebankan kewangan negara, tetapi menunjukkan bahawa kesalahan pihak berkuasa kini ditanggung menggunakan wang rakyat.
“Lebih membimbangkan, tiada sebarang tindakan atau pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu dalam kerajaan walaupun keputusan mahkamah telah mengesahkan keterlibatan pihak berkuasa,” tegas beliau.
ARMADA BERSATU turut menegaskan bahawa keadilan mesti ditegakkan segera bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman dan keselamatan negara.
Kes Pastor Raymond Koh, seorang paderi yang diculik pada tahun 2017, kembali menjadi perhatian umum selepas keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang buat pertama kali menamakan kerajaan sebagai pihak bertanggungjawab secara langsung terhadap kehilangan beliau.
