PENAHANAN ALBERT TEI BERI GAMBARAN LANGGAR HAK INDIVIDU DAN ETIKA PENGUATKUASAAN – AFIQ NARDIN

SELANGOR, 28 Nov — ARMADA Bersatu Selangor menyuarakan kebimbangan serius berhubung penahanan ahli perniagaan, Albert Tei, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal pagi ini, yang didakwa dilakukan melalui operasi serbuan melibatkan anggota bersenjata dan berpenutup muka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA Bersatu Negeri Selangor, Afiq Nardin, mempersoalkan kewajaran serta tatacara penguatkuasaan operasi tersebut yang menurut beliau menimbulkan persoalan besar dari aspek hak individu dan prosedur siasatan.

Menurut maklumat awal yang didakwa diterima daripada peguam Albert Tei, wujud dakwaan pelanggaran SOP antaranya ketiadaan pengenalan diri pegawai bertugas, penggunaan gari yang dianggap keterlaluan serta kegagalan memaklumkan lokasi sebenar beliau dibawa untuk siasatan. Afiq Nardin yang juga seorang pengamal undang-undang dan Timbalan Komander Briged ARMADA Malaysia berpandangan sekiranya dakwaan tersebut benar, ia mencerminkan kaedah operasi yang bertentangan dengan prinsip profesionalisme badan penguatkuasaan.

“Dalam apa jua proses siasatan, integriti prosedur dan penghormatan terhadap hak individu mestilah menjadi keutamaan,” tegas Afiq. Beliau menambah bahawa tindakan intimidasi atau kekerasan yang tidak wajar hanya akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap SPRM serta sistem keadilan negara.

Sehubungan itu, ARMADA Bersatu Selangor menggesa kerajaan tampil memberikan penjelasan segera mengenai operasi penahanan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan persepsi salah dalam kalangan rakyat. Jelas kenyataan itu lagi, penjelasan yang kukuh diperlukan agar insiden ini tidak dilihat sebagai penyalahgunaan kuasa atau tindakan berunsur kepentingan luar undang-undang.

ARMADA turut menegaskan komitmen untuk terus mengikuti perkembangan kes secara rapat bagi memastikan proses keadilan tidak terjejas dan keluhuran undang-undang terus dipertahankan.