PORT DICKSON, 6 DISEMBER – Penahanan Ahli Parlimen Padang Serai, YB Dato’ Azman Nasrudin oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk dakwaan bahawa ia merupakan usaha mengalihkan perhatian daripada isu lebih besar membabitkan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri (SuPol) yang didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan, Albert Tei.
Aktivis politik, Che GuBard yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Port Dickson menerusi satu hantaran media sosial turut mendakwa penahanan Ahli Parlimen berkenaan adalah sebahagian strategi untuk menutup isu dakwaan bahawa bekas SuPol Perdana Menteri, Shamsul, terlibat dalam rakaman video pengakuan berkait penerimaan wang. Menurut beliau, Shamsul didakwa terpaksa meletak jawatan bagi menafikan sebarang kaitan langsung dengan Perdana Menteri.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa kes yang melibatkan YB Dato’ Azman Nasrudin dikatakan berpunca daripada tindakan seorang bekas pegawai khas yang didakwa menerima wang tanpa pengetahuan Ahli Parlimen tersebut semasa beliau memegang jawatan Exco kerajaan negeri Kedah. Menurut Che GuBard, projek yang dilobi itu tidak pernah diluluskan, dan pegawai terbabit telah dipecat selepas perkara tersebut diketahui. Beliau turut mendakwa bahawa YB Azman sendiri telah tampil ke SPRM untuk menyerahkan bukti dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan.
Selain itu, Che GuBard turut mengaitkan isu ini dengan beberapa kes lain termasuk pendakwaan bekas pegawai tersebut serta perbandingan dengan kes melibatkan pegawai khas bekas menteri lain sebelum ini, yang akhirnya dibebaskan tanpa pendakwaan bagi memberi gambaran bagaimana persepsi yang dibina oleh pihak tertentu bagi memburukkan imej pemimpin parti pembangkang.
Beliau juga mempersoalkan mengapa individu-individu yang disebut dalam rakaman pengakuan, termasuk nama-nama berprofil tinggi, tidak didedahkan status siasatan mereka secara terbuka.
