ANWAR IBRAHIM MASIH PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN

PUTRAJAYA, 17 DIS 2025 — Pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengundang pelbagai reaksi sinis dan kritikal dalam kalangan rakyat, yang melihat langkah itu sebagai sekadar penyusunan semula jawatan, dan bukannya pembaharuan sebenar yang benar-benar mampu memenuhi tuntutan rakyat.

Walaupun beberapa portfolio penting disusun semula dan wajah baharu dibawa masuk, hakikat bahawa Anwar terus memegang dua jawatan paling berpengaruh sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menjadi fokus utama kritikan. Bagi ramai pemerhati, ia mencerminkan keengganan melepaskan kawalan pemusatan kuasa, sekali gus menimbulkan persoalan tentang komitmen terhadap prinsip reformasi institusi yang sering dilaungkan sembelum mendapat kuasa. 

Lebih mengundang kritikan ialah apabila prinsip melalui ideologi Pakatan Harapan sebelum PRU15, yang antara lain menjanjikan reformasi institusi, kelegaan kos sara hidup, pengukuhan ekonomi rakyat serta pengasingan kuasa yang lebih seimbang dilihat tidak direalisasikan. Selepas tiga tahun pentadbiran Anwar Ibrahim, rombakan Kabinet kali ini dilihat semakin gagal dalam melaksanakan agenda reformasi yang dilaungkan sebelum ini.

Rata-rata pemerhati dan penganalisis politik turut berpandangan rombakan ini lebih bersifat semata-mata penstabilan dalaman kerajaan campuran, bagi menjaga keseimbangan parti dan kepentingan politik, berbanding usaha berani melakukan pembetulan dasar. Malah, ada yang menyifatkannya sebagai “rombakan kosmetik” yang tidak mengubah struktur kuasa sebenar di Putrajaya.

Reaksi rakyat di media sosial menunjukkan nada skeptikal yang ketara. Rata-rata rakyat mempersoalkan sama ada rombakan Kabinet ini mampu menangani isu sebenar seperti kos sara hidup yang terus meningkat, kuasa beli yang kian menyusut serta tekanan ekonomi harian yang dihadapi golongan sederhana dan berpendapatan rendah. Bagi mereka, sekadar perubahan nama menteri tidak mampu membawa perubahan dasar.

Dalam kalangan rakyat, sentimen yang berlegar kini mudah dirumuskan: Kabinet boleh berubah, tetapi kehidupan masih sama. Selagi tekanan ekonomi tidak diringankan dan janji reformasi kekal tertangguh, rombakan Kabinet akan terus dilihat sebagai langkah politik, bukan penyelesaian kepada masalah rakyat.

Kesimpulannya, pengumuman semalam mungkin berjaya mengisi kekosongan jawatan dan menenangkan sebahagian elit politik, namun bagi rakyat biasa, persoalan yang masih belum terjawab tetap sama, “bilakah perubahan sebenar akan dirasai, dan bukan sekadar diumumkan?”.