KUALA LUMPUR, 23 Dis — Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pelantikan peguam untuk mengikuti prosiding kes Titah Addendum di Mahkamah Tinggi sebagai peguam pemerhati (watching brief), susulan kebimbangan terhadap implikasi perundangan yang melibatkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam hal pemberian pengampunan.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa urusan pengampunan merupakan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan secara jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan dan wajar dihormati sepenuhnya oleh semua pihak.
Menurut beliau, BERSATU sebagai sebuah parti komponen Perikatan Nasional PN berpandangan bahawa institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar ‘rubber stamp’, memandangkan kuasa tersebut telah diperincikan dalam Laporan Suruhanjaya Reid bagi memelihara kuasa dan prestij Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Perkara itu, katanya, turut disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut merujuk keputusan Ketua Hakim Negara dalam kes berkenaan yang memutuskan bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan bersifat non-justiciable, sekali gus berada di luar bidang kuasa semakan kehakiman.
Dalam pada itu, PN berpendapat kemelut Perlembagaan dan kekeliruan undang-undang yang timbul ketika ini berpunca daripada kegagalan Kerajaan Madani menangani isu kewujudan Titah Addendum sejak awal.
Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan mengkaji semula peruntukan-peruntukan berkaitan kuasa prerogatif pengampunan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta struktur asas Perlembagaan negara kekal jelas dan terpelihara.
