MUAR, 6 Januari 2026 – UMNO didakwa semakin kehilangan sokongan orang Melayu apabila gagal memainkan peranan sebagai pelindung kepentingan Melayu dan Islam sejak bersama dalam Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Muar, Ahmad Anwar Asyraf.
UMNO kini dilihat semakin selesa mempertahankan kerangka ideologi “Malaysian Malaysia” dalam Kerajaan Perpaduan, yang menurut beliau suatu ketika dahulu menjadi teras perjuangan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, sekali gus mewujudkan krisis kepercayaan yang serius dalam kalangan penyokong tradisi parti itu.
Sebaliknya, beliau menegaskan BERSATU memilih untuk kekal konsisten berada di luar kerajaan bagi mempertahankan prinsip perjuangan demi agama, bangsa dan negara, meskipun keputusan tersebut menuntut pengorbanan politik yang besar.
Tambahnya, dakwaan tersebut bukan sekadar persepsi, sebaliknya diakui sendiri oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh, yang menyatakan bahawa “garis merah” sering dilanggar dan isu sensitif berkaitan Melayu serta Islam dipandang ringan dalam pentadbiran kerajaan sedia ada.
“Pengakuan terbuka ini menunjukkan UMNO tidak lagi berada dalam posisi menentukan hala tuju, sebaliknya hanya menyesuaikan diri dalam sebuah kerajaan yang gagal menghormati sensitiviti dan kepentingan orang Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Anwar turut mempersoalkan ketiadaan tindakan politik yang tegas daripada UMNO meskipun pelanggaran prinsip itu diakui berulang kali, termasuk ketiadaan garis masa atau pendirian muktamad untuk keluar daripada kerajaan. Katanya, dalam politik, kegagalan bertindak membawa maksud persetujuan secara senyap.
Beliau berkata, rekod kekalahan UMNO sejak Pilihan Raya Umum 2018 bukan lagi bersifat sementara, sebaliknya mencerminkan trend hakisan kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu akibat jurang antara retorik dan tindakan sebenar ketika berada dalam kuasa.
“Orang Melayu perlu menilai politik berdasarkan keberanian membuat pendirian dan kesanggupan menanggung kos politik demi prinsip, bukan sekadar siapa yang paling lantang bersuara,” katanya, sambil menegaskan perbezaan antara BERSATU dan UMNO kini semakin jelas.
