ISU BABI, LGBT PERLU DITANGANI DENGAN TEGAS, HORMAT SENSITIVITI – HAMZAH ZAINUDIN 

LARUT, 13 Januari 2026 — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan titah Baginda yang menzahirkan pendirian tegas terhadap isu LGBT serta kontroversi berkaitan penternakan babi di Selangor.

Menurut Hamzah, titah berkenaan mencerminkan kebijaksanaan Raja Berperlembagaan yang berteraskan tuntutan agama, kepentingan awam dan keharmonian sosial, selain wajar diterjemahkan melalui tadbir urus kerajaan yang berkesan serta penguatkuasaan undang-undang yang konsisten.

Beliau menegaskan bahawa titah tersebut perlu dijadikan pedoman oleh semua pihak, khususnya kerajaan negeri dan agensi berkaitan, agar setiap dasar dan tindakan yang diambil selari dengan prinsip toleransi tanpa mengabaikan ketegasan mempertahankan kesucian agama, kepentingan rakyat serta kedaulatan undang-undang.

Hamzah turut berpandangan bahawa sebarang usaha menormalisasikan aktiviti yang bercanggah dengan ajaran agama, jati diri dan nilai kemanusiaan perlu ditangani secara tegas dan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa isu penternakan babi hendaklah diuruskan melalui pematuhan ketat terhadap peraturan alam sekitar, kesihatan awam, perancangan guna tanah serta sensitiviti masyarakat setempat bagi mengelakkan konflik dan mengekalkan keharmonian.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut dan Ketua Pembangkang, hari ini.