KUALA LUMPUR, 23 JAN 2026 – Perikatan Nasional (PN) kini menghampiri masa untuk memuktamadkan calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, walaupun BERSATU telah membuat keputusan di peringkat parti, penentuan calon Perdana Menteri mestilah diputuskan secara bersama oleh semua parti komponen dalam PN.
“BERSATU sudah buat cadangan, tetapi itu adalah cadangan BERSATU. Di peringkat PN, masih perlu membuat keputusan secara kolektif,” katanya.
Muhyiddin berkata perbincangan mengenai calon Perdana Menteri perlu dilakukan secara terbuka tanpa menimbulkan rasa kecil hati dalam kalangan parti komponen, sambil menegaskan tiada masalah sekiranya lebih daripada satu parti mengemukakan calon masing-masing.
“Kalau ada yang mahu jadi calon Perdana Menteri, cakaplah. Kalau keempat-empat parti ada calon pun tidak mengapa. Akhirnya, kita tetap perlu memilih seorang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu tersebut tidak seharusnya mencetuskan perbalahan kerana matlamat utama adalah mencapai kata sepakat demi kepentingan gabungan.
Muhyiddin berkata penangguhan keputusan berhubung calon Perdana Menteri boleh memberi implikasi politik dan psikologi, khususnya apabila pilihan raya semakin hampir.
“Apabila pilihan raya masih jauh, orang tidak bertanya. Tetapi bila semakin hampir, sama ada pilihan raya negeri atau kecil, rakyat mula bertanya siapa calon Perdana Menteri,” katanya.
Tambah beliau, kegagalan membuat keputusan lebih awal tidak memberi sebarang kelebihan kepada gabungan, manakala keputusan yang betul dan tepat pada masanya mampu mengukuhkan kedudukan PN.
“Mungkin sudah hampir masanya PN membuat keputusan siapa calon Perdana Menteri. Sama ada saya atau orang lain, itu bukan isu. Yang penting kita bincang dengan baik dan elakkan pergaduhan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama pengamal media Tamil di Brickfields, malam tadi.
