MASJID TANAH, 11 FEBRUARI 2026 — Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, digesa meletakkan jawatan susulan laporan berkaitan pemilikan saham yang didakwa berpotensi melanggar peraturan perkhidmatan awam.
Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata beliau memandang serius laporan media antarabangsa Bloomberg yang mendedahkan pemilikan kira-kira 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd, dengan nilai dianggarkan sekitar RM800,000, yang dikaitkan dengan Azam.
Menurut Ketua Sayap Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia SRIKANDI BERSATU itu juga, laporan terbaharu oleh portal Malaysiakini pula mendakwa Azam turut mempunyai pegangan saham dalam sebuah lagi syarikat, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pemilikan tersebut mematuhi peraturan yang mengehadkan jumlah saham boleh dimiliki oleh penjawat awam dalam satu entiti.
Mas Ermieyati berkata, sebagai individu yang menerajui institusi utama negara dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa, sebarang persoalan berkaitan pematuhan terhadap peraturan perkhidmatan awam, had pemilikan saham serta potensi konflik kepentingan tidak boleh dipandang ringan.
“SPRM merupakan institusi yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan rakyat. Integriti kepimpinannya mesti berada pada tahap tertinggi, bukan sahaja bebas daripada salah laku, malah bebas daripada sebarang persepsi yang meragukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, sekiranya dakwaan pemilikan saham melebihi had yang ditetapkan bagi penjawat awam atau wujud ketidakpatuhan terhadap garis panduan perkhidmatan awam adalah benar, Azam wajar mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memelihara kredibiliti SPRM sebagai agensi utama memerangi rasuah di negara ini.
“Malaysia memerlukan SPRM yang bukan sahaja tegas dalam menjalankan tugas, tetapi juga bersih tanpa sebarang keraguan. Kepercayaan rakyat adalah asas kepada kekuatan sesebuah institusi,” katanya lagi.
