PUTRAJAYA, 27 Mac 2026 — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi negara yang dilihat semakin mencabar susulan ketidakstabilan geopolitik di Timur Tengah, sambil mempersoalkan tahap kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi kemungkinan kegawatan global.
Menurut beliau, Perutusan Khas oleh Anwar Ibrahim pada 26 Mac lalu mengesahkan kebimbangan rakyat terhadap tekanan ekonomi semasa, namun gagal memberikan keyakinan bahawa kerajaan mempunyai pelan yang jelas, tersusun dan segera untuk berdepan risiko global yang semakin meningkat.
Katanya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada kesan kenaikan harga minyak dunia, gangguan rantaian bekalan serta tekanan inflasi yang berpanjangan. Justeru, persoalan utama yang timbul adalah sama ada kerajaan benar-benar bersedia untuk menangani situasi tersebut.
Beliau turut mempersoalkan langkah kerajaan seperti penyelarasan program BUDI95 dan kawalan diesel yang disifatkan lebih bersifat pentadbiran, tanpa menyentuh isu asas keterjaminan bekalan tenaga negara. Rakyat, katanya, berhak mengetahui kedudukan sebenar rizab, tempoh ketahanan bekalan serta pelan kontingensi sekiranya berlaku gangguan besar.
Dalam masa sama, kenyataan kerajaan bahawa Malaysia berada dalam keadaan “lebih baik” dilihat tidak memadai tanpa penjelasan yang lebih terperinci dan telus. Malah, usaha membawa pulang kapal minyak dari Iran turut menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap risiko sebenar terhadap bekalan tenaga negara.
Muhyiddin turut menuntut penjelasan lanjut daripada Petronas berhubung jumlah keuntungan yang diperoleh susulan kenaikan harga minyak global, serta sejauh mana hasil tersebut boleh digunakan untuk mengurangkan beban rakyat melalui kawalan harga minyak domestik.
Beliau juga menyifatkan dakwaan bahawa 90 peratus rakyat tidak terjejas sebagai mengelirukan, memandangkan kenaikan harga minyak akan memberi kesan berantai kepada kos logistik dan seterusnya meningkatkan harga barangan keperluan harian. “Hakikatnya, semua rakyat terkesan dengan kenaikan ini,” tegasnya.
Tambah beliau, pendekatan kerajaan yang masih dilihat dalam fasa “sedang difikirkan” adalah membimbangkan, kerana dalam situasi krisis, rakyat memerlukan kepastian, garis masa yang jelas serta tindakan konkrit, bukannya sekadar kemungkinan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan segera mengaktifkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam mod krisis yang bersidang secara harian, melibatkan kerjasama sektor awam dan swasta bagi memantau perkembangan global serta menyusun tindak balas yang pantas dan bersepadu seperti yang pernah dilaksanakan ketika krisis ekonomi 1997–98, 2008 dan pandemik COVID-19.
Selain itu, beliau turut menggesa agar pakej rangsangan ekonomi dipertimbangkan bagi melindungi sektor kritikal termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), agar kesan terhadap rakyat serta ekonomi dapat diminimumkan.
“Rakyat memerlukan halatuju ekonomi yang jelas termasuk strategi menangani inflasi, jaminan bekalan makanan dan tenaga, serta perlindungan terhadap pendapatan dan kelangsungan perniagaan tempatan,” katanya.
Menurut beliau, dalam keadaan semasa yang mencabar, kepimpinan negara perlu tampil tegas dan jelas, kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat serta pasaran terhadap keupayaan kerajaan mengurus krisis ekonomi yang semakin meruncing.
