BERSATU SEDIKIT LAGI AMBIL ALIH SELANGOR – DR TAWFIK YAAKOB

SHAH ALAM, 28 April – Negeri Selangor terus dilihat sebagai “mini Malaysia” yang menjadi medan paling kritikal dalam menentukan hala tuju politik nasional, khususnya bagi parti-parti yang beraspirasi untuk menerajui Putrajaya.

Perkara itu ditegaskan oleh pensyarah kanan Universiti Malaya dan penganalisa poltik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub dalam forum bertajuk Perpaduan & Integrasi Kaum sempena Konvensyen BERSATU Selangor 2026 yang dianjurkan Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Selangor berlangsung di IDCC Shah Alam Ahad lalu.

Menurut beliau, Selangor bukan sahaja memiliki kelebihan dalam kekuatan ekonomi dan kedudukan strategik, malah keupayaan parti politik untuk menguasai Selangor akan menjadi isyarat kepada penguasaan pentadbiran negara serta menjadi indikator penting kepada parti politik dalam menilai kemampuan mereka mentadbir negara.

“Untuk menguasai negara, asasnya adalah Selangor. Negeri ini akan menjadi cerminan kepada corak pentadbiran yang boleh ditawarkan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Dr Tawfik juga menjelaskan bahawa cabaran dan dalam pada masa yang sama berupaya menjadi kelebihan kepada BERSATU di negeri Selangor adalah dalam segmen kepelbagaian demografi pengundi.

Katanya, struktur pengundi di negeri itu menuntut pendekatan berbeza, khususnya dalam menangani sentimen pengundi bukan Melayu yang semakin kritikal terhadap isu ekonomi semasa.

“Sebagai ahli akademik, saya tidak bercakap berdasarkan imaginasi. Saya turun ke lapangan dan dapati terdapat keresahan dalam kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, terhadap perkembangan ekonomi negara,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan BERSATU sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah berjaya mengukuhkan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu, sekali gus membuka ruang untuk memberi fokus kepada segmen pengundi lain.

“Kerja untuk ‘capture’ undi Melayu sudah berjaya. Justeru, BERSATU tidak boleh terus menghabiskan tenaga pada segmen yang sama,” katanya.

Beliau turut membahagikan Selangor kepada tiga bahagian iaitu Selangor Utara, Selangor Tengah dan Selangor Selatan dengan PN dilihat telah menunjukkan prestasi baik di kawasan utara negeri itu, namun cabaran yang lebih besar di Selatan Selatan.

Mengulas strategi seterusnya, Dr Tawfik menegaskan keperluan untuk parti seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merangka dasar yang lebih dekat dengan komuniti Cina dan India dan mengerahkan sayap bukan Melayu BERSATU BERSEKUTU untuk menarik minat pegundi bukan Melayu. 

“Rakyat melihat ekonomi di pasar, bukan di pusat beli-belah. Di situlah denyut nadi sebenar keresahan mereka,” jelas beliau.

Tambahnya, kemenangan di kawasan campuran tidak memerlukan majoriti besar, sebaliknya cukup dengan kelebihan tipis asalkan strategi dan mesej tepat.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Tawfik turut memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang ‘Tsunami Pengundi Cina’ iaitu perubahan sokongan dalam kalangan pengundi Cina, didorong oleh tekanan ekonomi semasa.

Beliau merujuk kepada corak yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu sebagai petunjuk awal kepada perubahan tersebut.

“Akan berlaku tsunami baharu dalam kalangan pengundi Cina apabila ekonomi mereka mula terjejas. Apa yang berlaku di Sabah akan dibawa ke Semenanjung,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa PN perlu segera menyesuaikan strategi politik dengan memberi perhatian lebih serius kepada isu rentas kaum, selari dengan realiti Selangor sebagai negeri berbilang bangsa.

Forum tersebut dikendalikan oleh Naim Brundage dan turut menampilkan panelis dari Universiti Teknologi MARA, Dr. Sara Chinnasamy, yang membincangkan aspek perpaduan dan integrasi kaum dalam konteks politik semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *