BERSATU PULAU PINANG BANTAH PROJEK PERUMAHAN MEGA 61 TINGKAT DI GELUGOR

GEORGE TOWN, 11 MEI 2026 – Bantahan terhadap cadangan projek pembangunan mega berintensiti tinggi di Lot 642, Gelugor terus mendapat perhatian apabila penduduk setempat bersama pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Pulau Pinang turun padang menyuarakan penolakan terhadap projek kondominium mewah berkenaan.

Puluhan penduduk dari kawasan Taman Tun Sardon, Bukit Gelugor, Taman Brown dan Minden Heights berhimpun bagi membantah cadangan pembinaan empat blok pangsapuri setinggi antara 45 hingga 61 tingkat melibatkan lebih 3,500 unit rumah yang didakwa bakal menjejaskan kehidupan komuniti setempat.

Bantahan itu turut disertai Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Pulau Pinang, Zulkefli Bakar bersama pimpinan parti termasuk Ketua Bahagian Bukit Gelugor, Razman, serta bekas Ketua Bahagian UMNO Tanjung, Datuk Ahmad Ibni Hajar.

Menerusi hantaran media sosial, Zulkefli memaklumkan beliau hadir bersama pimpinan parti dan penduduk Gelugor dalam demonstrasi membantah pembinaan projek kondo mewah tersebut.

Menurut laporan, penduduk mendakwa projek berkenaan akan menyebabkan kesesakan trafik lebih buruk selain menghapuskan kawasan hijau yang menjadi ruang rekreasi masyarakat sejak sekian lama.

Seorang penduduk berkata, kawasan sekitar lokasi pembangunan yang selama ini didominasi bangunan rendah bakal berdepan peningkatan kepadatan penduduk yang drastik sekiranya projek itu diteruskan.

“Daripada sekarang kita ada 4,000 hingga 5,000 penduduk, tambah pula 20,000 penduduk baharu, bayangkan apa akan jadi kepada kami. Penduduk di sini sudah tinggal lebih 50 tahun. Dulu bangunan paling tinggi cuma empat tingkat, sekarang mahu bina sehingga 61 tingkat, lebih tinggi daripada Komtar,” katanya.

Penduduk bimbang kemudahan asas seperti jalan raya, sekolah dan masjid tidak mampu menampung pertambahan populasi yang dianggarkan mencecah 25,000 orang apabila projek itu siap kelak selain potensi kesesakan teruk dan risiko banjir kilat di kawasan tersebut. 

Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri meneliti semula projek tersebut dengan mengambil kira kesan terhadap kesejahteraan rakyat dan alam sekitar, kemampuan infrastruktur sedia ada bagi menampung kepadatan populasi mendadak serta risiko bencana alam di kawasan Gelugor.

Penduduk tempatan, Saudara Faizal berkata, tanah seluas 17 ekar itu asalnya merupakan tapak pencawang telekomunikasi milik kerajaan Persekutuan yang menempatkan menara telekom, bangunan operasi dan kuarters kakitangan Telekom Malaysia.

Menurutnya, ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak, kawasan berkenaan dicadangkan untuk pembangunan projek PR1MA dan rumah kos rendah sederhana sebelum rancangan itu berubah selepas pertukaran kerajaan.

Beliau mendakwa kerajaan negeri dipercayai membuka Request for Proposal (RFP) dengan syarat pembangunan melibatkan hanya 120 unit rumah penjawat awam dan 1,200 unit rumah mampu milik, manakala selebihnya merupakan pembangunan kondominium mewah berkepadatan tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *