SRIKANDI MUDA KUMPUL GOLONGAN PROFESIONAL BERDEPAN PEMIMPIN BERSATU 

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Forum Young Professional (YoPro) yang dianjurkan oleh SriMuda Club di bawah Srikandi Muda BERSATU Malaysia tampil sebagai platform baharu bagi menghimpunkan golongan muda profesional bersama pimpinan negara untuk membincangkan isu kepimpinan, tadbir urus dan masa depan Malaysia secara lebih terbuka.

Menurut Srikandi Muda BERSATU Malaysia, YoPro diwujudkan bukan sekadar sebagai forum perkongsian, malah menjadi ruang kepada anak muda untuk bertanya, menyuarakan pandangan serta memahami cabaran sebenar dalam mengurus negara.

Siri pertama program tersebut telah berlangsung di Anjum KLCC pada 24 Mei lalu dengan menampilkan Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkongsi pengalaman beliau memimpin negara ketika pandemik COVID-19.

Dalam sesi berkenaan, Muhyiddin berkongsi perspektif dan cabaran yang dihadapi kerajaan ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi global, termasuk kepentingan membuat keputusan secara tenang serta mengutamakan kebajikan rakyat.

Penganjur menyifatkan perkongsian tersebut memberi banyak pengajaran kepada generasi muda mengenai nilai keberanian, tanggungjawab dan kepimpinan sewaktu berhadapan situasi sukar. Menurut kenyataan itu lagi, anak muda perlu tampil lebih berani untuk mengambil peranan dalam menentukan hala tuju negara dan tidak hanya menjadi pemerhati dari jauh.

“Masa depan negara bukan untuk diperhatikan dari jauh, tetapi untuk dibentuk bersama,” menurut kenyataan tersebut. Srikandi Muda BERSATU Malaysia turut memaklumkan bahawa siri YoPro akan diteruskan secara berkala dengan menampilkan lebih ramai tokoh negara, pemimpin dan individu berpengalaman bagi berkongsi pandangan serta pengalaman bersama generasi muda.

Inisiatif itu dilihat sebagai usaha untuk melahirkan generasi muda yang lebih memahami soal kepimpinan, menghargai amanah dan bersedia memikul tanggungjawab demi rakyat serta negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *