SUA PERIKATAN NASIONAL HANTAR DOKUMEN TIDAK LENGKAP KEPADA ROS

KUALA LUMPUR, 23 Jun – BERSATU mempersoalkan kesahihan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Tergempar Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung malam tadi susulan maklum balas daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung rekod kepimpinan gabungan itu.

Menurut kenyataan BERSATU, JPPM menerusi surat bertarikh 22 Jun 2026 memaklumkan bahawa beberapa dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional didapati tidak lengkap serta tidak ditandatangani.

Sehubungan itu, JPPM telah mengarahkan PN mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari selaras dengan Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Mengikut peraturan JPPM, pertimbangan terhadap penerimaan rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi PN boleh ditangguhkan sehingga semua perkara berbangkit diselesaikan.

“Wakil-wakil BERSATU telah membangkitkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar Perikatan Nasional dan berpendirian bahawa mesyuarat tersebut perlu ditangguhkan berdasarkan maklum balas jelas yang diberikan oleh JPPM,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, BERSATU mendakwa mesyuarat tersebut diteruskan walaupun terdapat isu yang belum diselesaikan, dan tindakan itu berkemungkinan bertentangan dengan kehendak JPPM yang mahu urusan pentadbiran serta pengurusan parti dilaksanakan mengikut Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan 1966.

Dalam perkembangan sama, BERSATU turut menyatakan bantahan terhadap usaha menerima Parti Cinta Malaysia sebagai anggota baharu Perikatan Nasional.

Menurut parti itu, penerimaan parti baharu pada ketika PN sedang berdepan kemelut dalaman susulan keputusan PAS menamatkan hubungan dengan BERSATU hanya akan menambahkan lagi masalah dalam gabungan tersebut.

BERSATU turut mendakwa terdapat beberapa isu berkaitan permohonan penyertaan Parti Cinta Malaysia yang memerlukan penelitian lanjut.

Menurut semakan yang dilakukan, permohonan berkenaan dikemukakan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung Parti Cinta Malaysia. Namun, rekod rasmi menunjukkan jawatan Setiausaha Agung parti bagi sesi 2026-2027 disandang oleh Yeo Kwee Kwang.

Selain itu, maklumat kepimpinan yang dikemukakan kepada PN dikatakan menggunakan nama Parti Wawasan Negara, sedangkan permohonan dibuat atas nama Parti Cinta Malaysia.

BERSATU mendakwa setakat semakan terakhir yang dibuat, pertukaran nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara serta perubahan kepimpinannya masih belum mendapat kelulusan daripada JPPM.

“Penggunaan nama parti yang belum diluluskan oleh JPPM adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, BERSATU melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Pengerusi Perikatan Nasional yang didakwa mendesak Majlis Tertinggi PN menerima keanggotaan Parti Cinta Malaysia secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi undang-undang dan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 yang sedang berkuat kuasa.

Perkembangan terbaharu ini dijangka menambah lagi tekanan terhadap Perikatan Nasional yang kini berdepan cabaran dalaman melibatkan hubungan antara parti-parti komponennya menjelang beberapa pilihan raya yang bakal berlangsung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *