“BERSATU MASUK PILIHAN RAYA KERANA MAHU BENTUK KERAJAAN, SEBAB ITU KITA BERI TAWARAN KOMPREHENSIF KEPADA NEGERI SEMBILAN” – HALIM NAYAN

SERI MENANTI, 27 Julai – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Halim Nayan, menolak dakwaan seorang pimpinan parti di Negeri Sembilan yang mendakwa BERSATU bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semata-mata untuk memecahkan undi dan bukan dengan hasrat untuk menang.

Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak berasas serta tidak disokong oleh sebarang bukti, malah bercanggah dengan realiti penyertaan BERSATU dalam PRN kali ini.

Halim berkata, sejak awal lagi BERSATU telah dipinggirkan daripada rundingan pembahagian kerusi dan dinafikan hak sebagai rakan gabungan yang sah dalam Perikatan Nasional. Namun begitu, katanya, parti itu memilih untuk terus menawarkan pilihan kepada rakyat Negeri Sembilan melalui saluran demokrasi.

“BERSATU bertanding atas dasar menawarkan satu pilihan dan tawaran yang lebih baik kepada pengundi serta seluruh rakyat Negeri Sembilan. Kami turun ke gelanggang pilihan raya untuk mendapatkan mandat rakyat, bukannya sekadar menjadi pelengkap kepada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan logik di sebalik dakwaan bahawa BERSATU tidak berniat untuk menang apabila parti itu bertanding di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sedangkan hanya 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

“Jika benar BERSATU tidak berniat untuk menang atau membentuk kerajaan, mengapa kami bertanding melebihi jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan?” soalnya.

Menurut Halim, BERSATU juga telah membentangkan manifesto yang merangkumi pelbagai aspek penting termasuk pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan, kebajikan, kesihatan serta kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

Katanya, sebuah parti yang tidak serius untuk memenangi pilihan raya tidak akan bersusah payah menyediakan tawaran dasar yang menyeluruh kepada rakyat.

Beliau menegaskan penglibatan BERSATU dalam PRN Negeri Sembilan membuktikan parti itu menawarkan satu alternatif yang wajar dipertimbangkan oleh pengundi.

“Walaupun diasak dari pelbagai arah, BERSATU hadir dengan dasar, tawaran dan hala tuju yang jelas demi masa depan Negeri Sembilan,” katanya.

Sehubungan itu, Halim menggesa semua pihak supaya menumpukan perbahasan kepada isu-isu yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat seperti pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan, pelaburan dan kos sara hidup, berbanding terus memainkan naratif yang disifatkannya tidak berasas.

Menurut beliau, rakyat kini lebih mengutamakan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi, manakala golongan muda semakin matang dan bijak dalam menilai tawaran setiap parti politik.

Beliau turut mengajak orang ramai meneliti manifesto BERSATU untuk Negeri Sembilan yang boleh diakses melalui kod QR yang disediakan dalam bahan kempen parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *