ARMADA BERSATU DESAK TINDAKAN AGRESIF KERAJAAN SELAMATKAN 55 RAKYAT MALAYSIA DI NEPAL

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — ARMADA Bersatu Malaysia mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih agresif bagi memastikan keselamatan 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas dan gagal dihubungi susulan bencana banjir kilat serta aliran lumpur besar yang melanda Daerah Rasuwa, Nepal.

Ketua Penerangan ARMADA Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid, berkata pihaknya mengikuti rapat perkembangan bencana berkenaan yang berlaku susulan limpahan Sungai Bhote Koshi, berhampiran sempadan Tibet.

Menurut beliau, ARMADA Bersatu memandang serius pengesahan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) bahawa 55 warganegara Malaysia kini terkesan akibat bencana tersebut.

“ARMADA Bersatu menzahirkan rasa prihatin yang amat mendalam terhadap perkembangan ini, khususnya apabila infrastruktur komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan tanah tinggi berkenaan turut terjejas.

“Kami bersyukur dengan laporan awal bahawa tiada kemalangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia yang disahkan setakat ini, namun keadaan ini pastinya amat membimbangkan ahli keluarga yang masih menunggu khabar mengenai keselamatan waris masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harris berkata, keadaan menjadi lebih kritikal apabila akses jalan darat dari Kathmandu ke Daerah Rasuwa dilaporkan terputus sepenuhnya akibat kerosakan lebuh raya dan jambatan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melalui Wisma Putra, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meningkatkan segera usaha menyelamat dengan kerjasama pihak berkuasa Nepal.

“Sinergi bantuan bersama pihak berkuasa Nepal mestilah dipertingkatkan dengan kadar segera, termasuk menggerakkan aset logistik udara dan helikopter bagi mengesan kedudukan serta memindahkan kesemua 55 rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, ARMADA Bersatu turut menggesa Wisma Putra memastikan Bilik Operasi yang diaktifkan di Putrajaya menyalurkan maklumat secara telus, berkala dan pantas kepada ahli keluarga mereka yang terjejas.

Harris berkata, kebajikan rakyat Malaysia yang berjaya dipindahkan juga perlu diberi keutamaan, termasuk memastikan mereka mendapat bekalan makanan serta keperluan perubatan selepas proses pemindahan.

“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia mesti menjadi keutamaan tertinggi dalam usaha konsular di Kathmandu,” katanya.

Pada masa sama, ARMADA Bersatu turut menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya keluarga mangsa tempatan yang terkorban serta kehilangan tempat tinggal akibat bencana alam berkenaan.

ARMADA Bersatu juga menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan dan perlindungan 55 rakyat Malaysia yang terjejas, selain berharap segala urusan menyelamat dipermudahkan dan mereka dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *