AZMIN PERSOAL LAPORAN KUTIPAN HASIL PARKING MBPJ LEBIH RENDAH DARI SEPATUTNYA, “APAKAH BENAR HAL KONSESI PARKING DILETAK DI BAWAH AKTA RAHSIA RASMI?”

SHAH ALAM, 17 Nov 2025 – Perbahasan Bajet Selangor 2026 hari ini hangat apabila Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri dalam pengurusan konsesi parkir membabitkan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Azmin yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU itu membangkitkan isu hasil kutipan parkir MBPJ, yang menurutnya jauh lebih rendah daripada potensi sebenar. Dengan 40,000 petak parkir, kadar parkir 60 sen sejam, dan operasi kutipan selama 10.5 jam sehari, MBPJ sepatutnya memperoleh sekitar RM60 juta setahun.

Tetapi hari ini MBPJ hanya mengutip RM13 juta setahun, termasuk kos penguatkuasaan sebanyak RM8 juta,” tegasnya.

Dalam ucapannya, Azmin mendedahkan bahawa tender penyediaan sistem parkir pintar dibuka oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) pada 8 Januari 2025, dengan 26 syarikat menyertai proses pembidaan. Tiga syarikat disenarai pendek termasuk IT Max, yang menurutnya menawarkan pelaburan RM200 juta dalam tempoh dua tahun untuk pemasangan 1,800 kamera litar bagi operasi penguatkuasaan.

Bagaimanapun, Azmin mempersoalkan keputusan Kerajaan Negeri yang didakwa mengurangkan skop tender daripada 12 PBT kepada hanya 4 PBT, walaupun keseluruhan tender asal melibatkan lebih 80,000 petak parkir di seluruh negeri.

Beliau turut menyentuh perubahan struktur syarikat selepas tender dimuktamadkan. Menurut Azmin, Letter of Intent (LOI) diberikan sebelum IT Max menukar nama kepada Selmax, dengan perubahan ekuiti yang menyaksikan IT Max hanya memegang 50 peratus pegangan. Selebihnya, pemilikan diagihkan kepada PBT (40 peratus) dan Rangkaian Mesra (10 peratus), manakala pembangunan aplikasi parkir diserahkan kepada vendor Wavepay.

Beliau juga mempersoalkan unjuran hasil yang dijanjikan Selmax, yang didakwa hanya menjamin RM8 juta setahun dalam dua tahun pertama, dan RM10 juta dalam tahun ketiga, angka yang menurutnya amat rendah berbanding potensi sebenar kutipan.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan mendakwa wujud dakwaan bahawa kerajaan negeri telah mengklasifikasikan konsesi parkir ini di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Jika benar perkara ini diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi, apakah justifikasi Kerajaan Negeri untuk merahsiakan maklumat yang sepatutnya diketahui pembayar cukai? Saya mohon penjelasan penuh daripada pihak kerajaan,” katanya.