“BERSATU MENUJU KEMENANGAN”; HIMPUNAN BERSATU BERMULA SABTU INI – AZMIN ALI

SHAH ALAM, 2 September 2025 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 pada 6 hingga 7 September ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam. Perhimpunan dua hari itu dijadual berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang dengan kehadiran 2,555 perwakilan daripada 202 bahagian seluruh negara.

Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAT kali ini menjadi medan penting untuk menilai prestasi parti, memperkukuh latihan jentera serta membina kerjasama strategik bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung pada tahun hadapan. Halatuju menghadapi pilihan raya itu akan diperincikan menerusi Ucapan Dasar Presiden.

Menurutnya, Ucapan Dasar Presiden akan memberi penekanan kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan anak muda, ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan, kesan tarif import Amerika Syarikat, Akta Pembaharuan Semula Bandar, kedudukan Islam serta keharmonian rakyat. Isu geopolitik dan hubungan dengan parti politik luar blok kerajaan juga dijangka menjadi tumpuan.

Perhimpunan kali ini membawa tema “BERSATU Menuju Kemenangan” yang menekankan semangat muafakat, kepelbagaian pandangan serta nilai kebersamaan sebagai teras kekuatan parti. Ia akan dimulakan dengan Perhimpunan Agung Tahunan sayap-sayap – Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu – pada pagi 6 September yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden. Malamnya, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan Ucapan Dasar dalam majlis perasmian utama di Dewan Bunga Raya, IDCC.

Azmin turut mengesahkan penyertaan tokoh-tokoh penting, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, selain wakil kedutaan, pemimpin parti komponen PN, parti sahabat serta NGO. Perbahasan Ucapan Dasar akan berlangsung pada 7 September dengan penyertaan perwakilan dari semua negeri, sayap parti dan mahasiswa universiti. Perhimpunan akan ditutup dengan sesi penggulungan di sebelah petang sebelum sambutan ulang tahun ke-9 BERSATU pada malamnya.