ADUN PENANTI BUAT TINJAUAN SUSULAN ISU PARIT DAN SALIRAN PUNCA BANJIR LUMPUR

PENANTI, 14 Mei – Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, YB Zulkefli Bakar meneruskan komitmen turun padang bagi menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu penduduk setempat di kawasan DUN Penanti, khususnya berkaitan infrastruktur asas melibatkan perparitan dan saliran yang membawa kepada masalah banjir.

Dalam lawatan kerja baru-baru ini, YB Zulkefli Bakar mengunjungi beberapa kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah seperti di Mengkuang, beliau meninjau permasalahan berkaitan sistem perparitan yang memerlukan perhatian segera, manakala di Taman Guar Perahu Indah, beliau menyemak keadaan tangki air bocor yang menjejaskan keselesaan penduduk. Di Guar Jering pula, kerja-kerja membaiki longkang telah dilaksanakan bagi mengelakkan risiko banjir kilat.

Fokus utama lawatan ini ialah ke Taman Guar Perahu yang terjejas akibat kejadian banjir lumpur baru-baru ini. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah jurutera dari Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), pihak pemaju, juru perunding serta agensi-agensi berkaitan. Lawatan ini bertujuan untuk memantau progres kerja-kerja pemulihan dan penambahbaikan sistem saliran susulan insiden banjir yang melanda kawasan perumahan baharu itu.

Menurut wakil penduduk, pihak MBSP dan YB Zulkefli Bakar dilaporkan berpuas hati dengan langkah-langkah penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh pemaju. Antara tindakan yang diambil termasuk mendalamkan kolam tadahan air sedia ada, serta pembinaan sistem U-drain konkrit bersaiz lebih besar bagi menampung aliran air ketika hujan lebat atau banjir kilat.

Terdahulu, pada 21 April lalu, YB Zulkefli Bakar telah meninjau sendiri keadaan mangsa banjir Taman Guar Perahu di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Permatang Pasir dan menyampaikan bantuan makanan serta sumbangan kepada 13 keluarga yang terjejas. Beliau turut menyeru pihak pemaju agar segera memperbaiki sistem saliran dan kumbahan di kawasan pembangunan sebagai langkah pencegahan jangka panjang.

Langkah proaktif dan kehadiran berterusan YB Zulkefli Bakar di lapangan menunjukkan komitmen beliau dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *