KUALA LUMPUR, 16 Mei 2025 — ARMADA BERSATU menyuarakan bantahan keras terhadap cadangan menaikkan gaji Ahli Parlimen yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen PKR, YB Wong Chen, sambil menempelak kerajaan atas kegagalan menangani isu ketidaksaksamaan peruntukan dan ketelusan dalam pentadbiran Parlimen.
Penolong Setiausaha ARMADA BERSATU Malaysia, Mohd Fahim Mohd Farid, menyifatkan cadangan itu sebagai tidak sensitif dan langsung tidak bertepatan dengan keadaan semasa rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin membebankan.
“Harga barang terus melambung, subsidi disasar, cukai diperluas, dan peluang pekerjaan tidak stabil. Dalam keadaan sebegini, apa logiknya cadangan menaikkan gaji ahli politik?” soal beliau dalam kenyataan medianya.
Menurut Mohd Fahim, isu yang lebih mendesak sepatutnya adalah ketidaksamaan dalam agihan peruntukan Ahli Parlimen yang masih belum ditangani secara adil.
“Ahli Parlimen kerajaan hari ini menerima RM3.8 juta setahun untuk pembangunan kawasan dan RM300,000 setahun untuk pengurusan pejabat, manakala Ahli Parlimen pembangkang menerima RM0. Ini bukan soal prestasi, ini soal diskriminasi politik,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa majoriti Ahli Parlimen pembangkang, khususnya dari Perikatan Nasional, mewakili kawasan majoriti Melayu yang kini paling terkesan dengan tekanan ekonomi, namun terus dinafikan akses kepada peruntukan asas demi khidmat rakyat.
Dalam kenyataan lain, Mohd Fahim turut membangkitkan persoalan berkaitan ketelusan dalam pengisytiharan aset oleh Ahli Parlimen dan Menteri kerajaan.
“Jika benar prinsip ketelusan mahu ditegakkan, mengapa sehingga kini tiada satu portal rasmi kerajaan yang memaparkan senarai penuh pengisytiharan harta semua pemimpin kerajaan?” tanya beliau sambil menyifatkan tindakan kerajaan sebagai hipokrit.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu-isu penting seperti peruntukan tetap dan pengisytiharan aset tidak dimasukkan ke dalam Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan baru-baru ini.
“Akta ini hanyalah bersifat kosmetik. Ia tidak holistik dan langsung tidak menyentuh struktur sebenar yang perlu diperbetulkan,” tambahnya.
Sehubungan itu, ARMADA BERSATU menggesa kerajaan untuk:
1. Menghentikan cadangan kenaikan gaji Ahli Parlimen selagi rakyat masih bergelut dengan tekanan ekonomi.
2. Menstrukturkan semula pengagihan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen secara adil tanpa mengira blok politik.
3. Memperkukuh institusi Parlimen dengan reformasi menyeluruh yang menyentuh akar masalah, bukan sekadar pindaan bersifat kosmetik.
“Jangan bercakap soal gaji jika tanggungjawab dan keadilan kepada rakyat pun masih belum ditunaikan,” tegas Mohd Fahim.
Beliau turut mengakhiri kenyataan dengan ucapan selamat maju jaya kepada Wong Chen sempena pemilihan parti KEADILAN yang akan datang.