PENGUATKUASAAN BERLEBIHAN; ADUN SEBERANG JAYA GESA KERAJAAN NEGERI LEBIH BERHATI PERUT TERHADAP PENJAJA KECIL

SEBERANG JAYA, 23 Mei – Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa agar lebih berperikemanusiaan dan berhenti mengamalkan penguatkuasaan secara berlebihan terhadap penjaja serta peniaga kecil yang bergelut mencari rezeki harian.

Gesaan tersebut disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, YB Izhar Shah, dalam sesi perbahasan ke atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 hari ini.

Kesan yang membimbangkan ialah impak langsung terhadap penjaja dan peniaga kecil yang semakin terbeban dengan tindakan penyitaan serta kompaun tinggi yang dikenakan secara mendadak.

“Peniaga kecil ini bukan berniaga untuk jadi kaya, tapi sekadar cukup makan, dengan modal kecil. Tapi akibat penguatkuasaan begini, mereka terpaksa bayar kompaun yang besar dan lebih malang, barang niaga pula disita, langsung hilang punca pendapatan hari itu,” ujarnya dengan nada kecewa.

Beliau yang juga Ketua ARMADA BERSATU Negeri Pulau Pinang, menegaskan bahawa tindakan pihak berkuasa seharusnya lebih seimbang, bukan semata-mata mengejar statistik aduan atau laporan audit yang baik, tetapi perlu juga disertakan dengan pendekatan yang lebih empati.

“Saya pernah tegaskan, berpada-padalah. Berhati-perutlah. Kalau nak buat tindakan, pastikan ada bimbingan, sesi libat urus, turun padang dan carikan tapak ganti. Reka fasiliti yang sesuai dengan keperluan mereka,” tambahnya.

Menurut beliau juga, sejak sidang lalu, tiada sebarang pemakluman awal diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan operasi penguatkuasaan yang dijalankan di kawasannya, sekaligus memaksa beliau sendiri mengambil inisiatif untuk menghubungi jabatan-jabatan berkaitan bagi mendapatkan pengesahan.

“Ada ADUN yang terima makluman, ada yang tidak. Persoalannya, kenapa wujud perbezaan layanan ini? Bukankah kami semua dipilih melalui proses demokrasi yang sah?” soal beliau.

YB Izhar Shah menekankan bahawa semua wakil rakyat, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, wajar dihormati secara adil dan diberi makluman sewajarnya sebelum operasi dijalankan, bagi memastikan suara dan kepentingan rakyat di kawasan masing-masing dibela.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *