RAKYAT BAKAL DERITA KESAN DASAR “PENYAKIT EKONOMI 3 SERANGKAI” – SAIFUDDIN ABDULLAH

INDERA MAHKOTA, 17 Jun — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, menarik perhatian bahawa bermula 1 Julai 2025, rakyat bakal berdepan apa yang beliau istilahkan sebagai “penyakit ekonomi tiga serangkai” — satu penderitaan yang diibaratkan setara dengan penyakit kronik, tetapi dalam bentuk beban kewangan. Tiga beban utama tersebut adalah kenaikan dan peluasan SST, penyasaran subsidi RON95 serta peningkatan tarif elektrik.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dan kekecewaan terhadap kenyataan terbaru Perdana Menteri yang didakwanya tersilap menjelaskan maksud sebenar GST dan SST dalam satu video yang kini tular. Beliau menegaskan, kenyataan bahawa GST adalah ‘General Service Tax’ dan SST hanya dikenakan ke atas barangan import adalah salah sama sekali dan boleh mengelirukan rakyat.

Menurut Saifuddin, hakikat sebenar ialah GST merujuk kepada ‘Goods and Services Tax’ yang merangkumi barangan dan perkhidmatan, manakala SST pula turut dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan tempatan tertentu, bukan semata-mata barangan import. Beliau mempersoalkan bagaimana seorang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan boleh melakukan kesilapan asas sebegini dalam menjelaskan dasar percukaian negara.

“Jika ketua kerajaan sendiri gagal memahami sistem cukai yang beliau uruskan, bagaimana rakyat boleh yakin bahawa dasar fiskal negara berada di landasan yang betul?” soal beliau. Saifuddin berpendapat, kekeliruan ini menunjukkan kelemahan serius dalam pentadbiran fiskal negara, yang akhirnya akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.

Saifuddin menegaskan bahawa rakyat bukanlah bahan uji kaji untuk dasar ekonomi yang tidak berpijak pada realiti. Beliau menyeru Perdana Menteri dan kerajaan agar berhenti menambah derita rakyat dengan dasar yang keliru, sebaliknya menumpukan kepada langkah yang benar-benar menjaga kepentingan keluarga dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *