[KOLUMNIS] PAKATAN HARAPAN: PENGKHIANAT DEKLARASI PERMATANG PAUH 1998
Oleh: Muhammad Khairulamirin bin Mohamad Lizam
Dulu melawan penindas, kini bersanding dengan mereka. Dahulu mereka melaung “Lawan Tetap Lawan!” kini mereka berbisik mesra di kamar kuasa.
1) Pada 20 September 1998, dari sebuah pekan kecil di Pulau Pinang,Permatang Pauh,terbit satu jeritan rakyat yang menggoncang tiang-tiang kekuasaan. Deklarasi itu bukan sekadar kenyataan, tetapi lambang kebangkitan. Ia bukan hanya tulisan, tetapi sumpah darah dan air mata rakyat yang ditindas oleh kerakusan kuasa.
Di sinilah bermulanya satu perjuangan besar yang sering dilaung aktivis dan penyokong Pakatan Harapan: Reformasi.
2) Deklarasi ini bukan dilakar oleh pena bangsawan, tetapi oleh jiwa-jiwa yang luka, oleh rakyat biasa yang dimaki, ditendang, dipenjara dan dihumban hanya kerana berkata benar.
Antara janjinya:
i. Menghapuskan campur tangan dalam institusi kehakiman
ii. Membanteras rasuah dan kronisme tanpa kompromi
ii. Menjamin kebebasan media, suara mahasiswa, dan hak asasi manusia
iv. Membina ekonomi yang adil, membela si miskin dan tertindas
V. Menyatukan rakyat atas dasar keadilan, bukan kaum
Inilah obor yang dinyalakan pada malam-malam gelap penindasan. kompas itu telah dibuang ke dalam lumpur politik murahan.Mereka yang dulu menjunjungnya kini menginjaknya tanpa malu.
3) Mereka masuk ke Putrajaya dengan slogan harapan, tetapi keluar dari prinsip dengan wajah penuh kepura-puraan.
Rasuah masih berakar. Institusi masih dikawal. Media masih disekat. Rakyat masih dibohongi.
Janji tol percuma? Hilang.
Janji pendidikan percuma? Lenyap.
Janji gaji minimum? Dipermainkan.
4) Mereka pernah berdemonstrasi di jalanan menentang nepotisme, kini angkat anak dan saudara ke puncak kuasa.
Dulu menjerit tentang kezaliman elit, kini berkawan erat dengan tangan-tangan yang pernah menekan leher rakyat.
5) Apa beza mereka dengan rejim lama? Hanya baju yang ditukar ,isi busuknya sama.
Deklarasi itu lahir dari penindasan, bukan rundingan.
Ia dibina atas luka, bukan lobi politik.
Namun hari ini, deklarasi itu tidak dibunuh oleh musuh,
tetapi ditikam dari belakang oleh sahabat sendiri.
Mereka yang dahulu melaung ‘Reformasi’ kini lebih rakus daripada regim yang mereka tentang.
Mereka bukan lagi pejuang,
Mereka adalah pengganti kepada penindas yang pernah mereka benci.
6) Jika kerajaan hari ini adalah jasad tua yang lupa sejarah perjuangannya,
maka generasi muda adalah nadi baharu yang akan menyalakan kembali api reformasi yang sebenar.
Reformasi bukan barang mainan.
Ia bukan tiket ke Putrajaya.
Ia bukan skrip drama pilihan raya.
Reformasi ialah sumpah.
Dan sumpah itu belum lunas.
Deklarasi Permatang Pauh tidak mati – ia hanya menunggu mereka yang berani untuk menghidupkannya semula.
Bukan dengan kata-kata… tapi dengan keberanian menentang arus.
Bukan demi jawatan… tapi demi kebenaran.
Rakyat tidak bodoh. Sejarah tidak lupa.
Bangkitlah, sebelum negara ini dikuburkan bersama prinsip perjuangan yang dikhianati.
Aku sertakan petikan reformasi kalian untuk menyuluh kembali kedalam diri
