KEMATIAN PELAJAR WANITA DI CYBERJAYA PULA; RAKYAT MAKIN RESAH TENTANG KESELAMATAN NEGARA

SEPANG, 27 Jun 2025 – Tragedi menyayat hati melibatkan seorang pelajar wanita berusia 20 tahun yang ditemui maut dengan kecederaan parah di kepala di sebuah kediaman pelajar di Cyberjaya telah menimbulkan kebimbangan serius berhubung tahap keselamatan pelajar di kawasan tersebut.

Mangsa, yang merupakan penuntut institusi pengajian tinggi, dipercayai menjadi mangsa serangan berdasarkan kesan kecederaan akibat hentakan objek keras. Lebih membimbangkan, tiada kesan pecah masuk dilaporkan oleh pihak berkuasa, sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan di premis kediaman pelajar, khususnya yang tidak terletak di bawah pemantauan kampus atau universiti.

Susulan kejadian tersebut, Ketua ARMADA Bersatu Bahagian Sepang, Hafizan Naimman, tampil menggesa kerajaan dan pihak berwajib agar mengambil langkah segera dan tegas dalam menangani isu keselamatan pelajar yang kian membimbangkan.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk:

1. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa menggubal garis panduan keselamatan minimum untuk semua jenis kediaman pelajar, termasuk pemasangan sistem pemantauan, butang kecemasan dan pelaksanaan audit keselamatan secara berkala.

2. Pihak universiti dan pengurusan bangunan disaran agar mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan kediaman pelajar berada dalam keadaan selamat dan terpantau.

3. Kerajaan dicadangkan untuk menyediakan insentif atau peruntukan khas bagi membantu institusi pengajian tinggi serta pemilik kediaman pelajar dalam melabur kepada sistem keselamatan yang lebih menyeluruh.

Menurut Hafizan, isu keselamatan pelajar bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Mahasiswa adalah aset masa depan negara. Mereka datang untuk menuntut ilmu, bukan mempertaruhkan nyawa. Setiap pihak — dari kementerian hinggalah ke pengurusan bangunan — perlu memikul tanggungjawab ini bersama,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejadian ini sekali lagi membuka ruang perbincangan mengenai perlunya pelaksanaan dasar keselamatan pelajar yang lebih menyeluruh dan berkesan, khususnya bagi pelajar yang tinggal di luar kampus. Siasatan kes masih dijalankan oleh pihak berkuasa.