BRIGED ARMADA BERSATU SIAP SIAGA JENTERA; BANTU KAWAL SELIA, URUS MOBILISASI  HIMPUNAN “TURUN ANWAR” 

GOPENG, 30 JUN 2025 – Briged Armada BERSATU, sebuah unit khas di bawah sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, yang diketuai Komander Briged ARMADA Malaysia Sdr. Aendrie Aziz menyatakan sokongan kesiapsiagaan bagi membantu kelancaran himpunan “Turun Anwar” yang dijadual diadakan pada 26 Julai ini. Briged ARMADA BERSATU ditubuhkan atas inisiatif Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, berperanan memperkasa peranan anak muda dalam tugas-tugas khas seiring dengan perjuangan parti. 

Selaras dengan visi penubuhan Briged ARMADA BERSATU bertujuan untuk melahirkan anggota ARMADA yang memiliki jati diri perjuangan tinggi, berani, dan berintegriti dalam mendukung perlembagaan negara serta membela nasib agama, bangsa, dan tanah air. Misi Briged adalah untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang proaktif dan prihatin dalam bertindak menjalankan misi kemanusiaan dan kemasyarakatan. 

Menurut pimpinan Briged ARMADA BERSATU, selain penglibatan dalam misi kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti kerja kebajikan dan kesukaralewaan, peranan Briged juga akan merangkumi penglibatan dalam membantu kelancaran program politik parti BERSATU. Penyertaan Briged terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang merupakan ahli BERSATU.

Briged ARMADA BERSATU baru selesai mengadakan sesi latihan asas yang berlangsung pada 26 hingga 28 Julai lalu di Markas Latihan Armada, Gopeng, Perak, melibatkan lebih 40 orang pelatih. Modul latihan Briged menekankan tentang peranan dalam tugasan khas misi kemanusiaan dan kemasyarakatan, pembinaan jati diri, penerapan ideologi parti, latihan ketahanan mental dan fizikal, serta persediaan untuk menjadi pemimpin muda berkarisma yang bersedia berkhidmat untuk masyarakat selari dengan slogan “Armada Teguh Semangat, Berjuang Demi Rakyat”.