SISWA BERSATU TUBUH JAWATANKUASA KEPIMPINAN UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN

KOTA BHARU, 1 Julai 2025 – Siswa BERSATU Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini ditubuhkan secara rasmi bagi sesi 2025/2026 di bawah Biro ARMADA BERSATU dan Srikandi Muda BERSATU Malaysia. Penubuhan ini dilihat sebagai wadah strategik untuk keterlibatan mahasiswa UMK dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air, selari dengan visi dan misi universiti dalam melahirkan graduan berdaya saing dan berjati diri tinggi.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Siswa BERSATU UMK akan menjadi platform mahasiswa memperjuang agenda pemerkasaan pendidikan anak bangsa selari dengan perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan negara,  menerusi pendekatan yang lebih ideal dan tersusun. Selain itu, ia juga berperanan memberi ruang kepada mahasiswa untuk melontarkan pandangan mereka tentang isu semasa serta memainkan peranan dalam menyuarakan kebajikan rakan-rakan mereka di kampus.

Barisan kepimpinan baharu bagi sesi ini dilihat bersedia untuk memikul amanah dan tanggungjawab dengan lebih berani dan matang. Mereka diyakini mampu menjadi suara mahasiswa yang tegas dan berwibawa dalam menyampaikan idea serta cadangan kepada pihak pengurusan universiti mahupun mana-mana pihak berkepentingan dalam usaha memartabatkan agenda mahasiswa UMK secara efektif.

Antara kepimpinan yang diumumkan termasuk Muhammad Danial Ikmal Bin Mohamad sebagai Presiden, dibantu oleh Muhammad Hakim Bin Kamarudin selaku Naib Presiden. Alia Adriana Binti Mohd Rosid dilantik sebagai Ketua Siswi manakala Fitri Syafika Binti Mohd Ishak sebagai Naib Ketua Siswi. Turut berada dalam barisan pimpinan ialah Mohamad Shahreezal Hamdan Bin Samizi sebagai Setiausaha dan Muhammad Nabil Thaqif Bin Mohd Tibrani sebagai Ketua Penerangan, bersama lima Ahli Jawatankuasa Tertinggi lain.

Presiden Siswa BERSATU Malaysia, Ameer Hazeem Mohd Zaky, menzahirkan harapan agar semua mahasiswa UMK dapat bersama-sama dalam perjuangan memperkasa pendidikan anak bangsa. Beliau menegaskan bahawa perjuangan ini bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri, tetapi juga untuk agama, bangsa dan negara. Platform ini terbuka kepada mana-mana mahasiswa yang ingin menyumbang bakti dan idea dalam memajukan UMK dan masyarakat seluruhnya.