ARMADA BERSATU BIDAS TINDAKAN PAMER WAJAH AHLI POLITIK PADA POSTER BANTUAN ZAKAT

JOHOR BAHRU, 4 Julai – Ketua ARMADA Bersatu Parit Sulong, Muhammad Ifteesham Mohd Yusak, menegaskan bahawa zakat tidak sepatutnya dijadikan alat promosi politik oleh mana-mana pihak. Kenyataan itu dibuat susulan penularan poster rasmi berkaitan skim Bantuan Zakat Pendaftaran IPT (Dalam Negara) baru-baru ini yang memaparkan wajah besar seorang pemimpin politik kerajaan negeri.

Menurut Ifteesham, walaupun inisiatif bantuan zakat tersebut amat dialu-alukan, pendekatan komunikasi yang digunakan menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat. Beliau berkata, zakat adalah amanah umat Islam seluruh Johor tanpa mengira fahaman politik, dan tidak wajar dipromosikan seolah-olah ia milik peribadi mana-mana ahli politik.

“Kita bimbang, jika budaya seperti ini dibiarkan berterusan, maka akan timbul persepsi bahawa bantuan agama juga sedang dipolitikkan. Akhirnya, kepercayaan rakyat terhadap institusi pengurusan zakat boleh terhakis. Lebih buruk, mungkin ada yang mula ragu untuk menunaikan zakat melalui saluran rasmi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mengingatkan agar pihak berkaitan berhati-hati dalam aspek komunikasi awam supaya tidak mencetuskan kekeliruan atau persepsi negatif terhadap institusi zakat. Tambahnya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) diyakini sentiasa profesional dalam pengurusan zakat, namun garis panduan yang lebih jelas perlu diwujudkan dalam hal promosi bantuan zakat.

“Zakat adalah amanah. Bukan alat publisiti,” tegasnya sambil menzahirkan harapan agar isu seperti ini tidak lagi berulang pada masa depan demi menjaga kesucian dan kepercayaan rakyat terhadap institusi zakat di negeri ini.