Shah Alam, 9 Julai 2025 – Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, YB Hilman Idham menyeru agar isu letupan paip gas di Putra Heights dibincangkan secara serius dan menyeluruh dalam Dewan Negeri Selangor tanpa mengira batasan politik atau kawasan.
Dalam sidang DUN Selangor hari ini, beliau menegaskan bahawa isu keselamatan rakyat tidak boleh dilihat dari sudut kepartian semata-mata kerana insiden seperti itu boleh berlaku di mana-mana sahaja.
“Isu ini tidak kenal parti atau kawasan. Kalau gas nak meletup, ia meletup. Maka, kita perlu gunakan ruang Dewan ini secara konstruktif, komprehensif dan holistik,” katanya.
Hilman menyatakan kebimbangan bahawa keresahan rakyat bukan sahaja tertumpu di Putra Heights, tetapi turut dirasai oleh penduduk di sepanjang lebih 2,600 kilometer jajaran paip gas di seluruh negara.
“Ramai rakyat tidak berpuas hati apabila dapatan awal menyatakan punca letupan disebabkan keadaan tanah yang lembut dan longgar. Kalau begitu, bagaimana pula dengan kawasan jajaran paip gas seperti di belakang Masjid Alam Impian, Shah Alam yang mana memperlihatkan permukaan tanah yang kian mendap. Apakah tanahnya lembut dan longgar?” ujarnya.
Beliau menyambut baik cadangan ADUN Taman Medan agar satu kertas putih dibentangkan bagi memperincikan bukan hanya punca insiden, tetapi juga perancangan jangka panjang dan jaminan keselamatan untuk rakyat.
Antara perkara yang dicadangkan untuk dimasukkan dalam kertas putih tersebut termasuklah:
• Penambahbaikan sistem pemantauan tekanan gas secara masa nyata (real-time),
• Penetapan indikator teknikal awal bagi mengenal pasti risiko penurunan tekanan mendadak,
• Pengawasan keselamatan kawasan paip gas yang lebih ketat dan sistematik,
Hilman turut mendedahkan bahawa laporan polis menunjukkan tekanan gas di Pusat Kawalan Petronas (PCC) berada di tahap normal tetapi menurun secara mendadak sewaktu kejadian berlaku.
“Sepatutnya kita telah mempunyai sistem indikator yang boleh memberi amaran awal terhadap perubahan tekanan mendadak. Ini adalah kelemahan yang perlu diperbaiki segera,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kurangnya kawalan dan papan tanda keselamatan yang jelas di kawasan paip gas, menyebabkan ramai penduduk tidak menyedari mereka tinggal berhampiran zon berisiko tinggi.
Hilman mengakhiri kenyataannya dengan menyeru agar semua pihak — termasuk kerajaan negeri, agensi teknikal dan syarikat berkaitan — memberikan jaminan konkrit kepada rakyat bahawa tragedi seperti di Putra Heights tidak akan berulang.
“Rakyat mahu jaminan, bukan sekadar alasan teknikal. Apa yang berlaku sudah berlaku. Persoalannya kini: apa perancangan kita ke hadapan?” katanya.
