TASEK GELUGOR, 10 Julai 2025 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Datuk Wan Saiful Wan Jan, menggesa Ketua Audit Negara menjalankan audit terhadap kegagalan kerajaan melunaskan bayaran kepada kontraktor-kontraktor kecil, khususnya usahawan Bumiputra, yang terlibat dalam perkhidmatan kebersihan sekolah di beberapa negeri.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau mendedahkan bahawa sehingga kini masih terdapat kontraktor di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan yang belum menerima bayaran bagi kerja-kerja yang telah diselesaikan sejak tahun lalu.
“Saya dimaklumkan kelewatan ini berpunca daripada Arahan Perbendaharaan (AP58) yang dikeluarkan pada penghujung tahun 2024. Walaupun penangguhan bayaran hujung tahun adalah kebiasaan, tempoh penangguhan di bawah kerajaan ini adalah terlalu lama dan tidak munasabah,” katanya.
Menurut Wan Saiful, kerajaan juga masih gagal menyelesaikan bayaran pelarasan gaji minimum yang dinaikkan sebelum ini, menyebabkan usahawan terpaksa menanggung kos tambahan.
“Akibat kegagalan kerajaan menunaikan tanggungjawab, ramai usahawan terpaksa berhutang atau mengambil pembiayaan factoring untuk menampung operasi mereka. Ini menyebabkan mereka menanggung kos faedah tambahan yang sebenarnya tidak perlu jika kerajaan lebih cekap,” katanya lagi.
Beliau menegaskan kelewatan bayaran ini boleh menjejaskan kelestarian operasi usahawan dan memberi kesan kepada ribuan pekerja yang bergantung kepada kontrak-kontrak tersebut.
