ARMADA BERSATU SELANGOR KECAM SIASATAN TERHADAP HILMAN IDHAM 

SHAH ALAM, 8 Ogos 2025 – ARMADA BERSATU Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua ARMADA Malaysia, YB Hilman Idham, susulan siasatan yang dikenakan terhadap beliau selepas menyertai himpunan solidariti di IPD Dang Wangi baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketuanya, Afiq Nardin, tindakan pihak berkuasa menyiasat Hilman di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948 adalah satu bentuk intimidasi politik serta penyalahgunaan kuasa yang jelas bertujuan membungkam suara anak muda.

“Akta Hasutan adalah undang-undang lapuk dan menindas. Menyiasat seorang ADUN hanya kerana pendirian beliau menolak akta ini mencerminkan ketakutan terhadap kebangkitan suara rakyat,” katanya.

ARMADA Selangor turut mengingatkan pihak berkuasa agar tidak menjadi alat politik mana-mana pihak dan menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam demokrasi bukan satu jenayah, sebaliknya hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

Gerakan itu berikrar akan terus berdiri teguh bersama YB Hilman dan menyeru seluruh rakyat, terutamanya anak muda, agar bangkit mempertahankan hak kebebasan bersuara dan tidak tunduk kepada tekanan politik.