“SAYA AKAN LAWAN DAN MINTA DIBICARAKAN”, JAWAPAN HILMAN DI HADAPAN HAKIM

Kuala Lumpur, 20 Ogos 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham hari ini berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Jenayah (7), Kuala Lumpur di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung ucapannya pada program Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam prosiding tersebut, YB Hilman Idham dengan tegas menyatakan pendiriannya untuk tidak mengaku bersalah dan memilih untuk membicarakan kes itu. “Saya akan lawan dan minta dibicarakan,” katanya di hadapan majistret.

Beliau hadir bersama barisan peguam yang mewakilinya, termasuk Muhammad Rafique Rashid Ali, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Afiq Nardin, Zolazrai Zolkapli serta Alias Rasman. Kehadiran tokoh politik dan peguam muda itu memberi gambaran kes ini bakal menjadi perhatian umum.

Menurut YB Hilman Idham, pendakwaan terhadapnya mencerminkan kerosakan sistem negara selepas hampir tujuh dekad merdeka. Beliau menegaskan bahawa mereka yang mempertahankan kebebasan bersuara dan maruah negara kini berdepan tindakan undang-undang yang menekan.

“Pendakwaan pagi ini adalah benih yang akan tumbuh dan membesar. Kebangkitan rakyat akan menumbangkan kerajaan hipokrit dan zalim,” ujarnya, sambil menggesa rakyat untuk terus bangkit menentang kezaliman.