Shah Alam, 5 September 2025 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali ke-8 pada 6 dan 7 September ini di Shah Alam, yang dijangka menjadi medan penting bagi parti menyusun strategi politik dan ekonomi dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, YB Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, berkata PAT kali ini signifikan kerana parti perlu bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi, selain kemungkinan pilihan raya di Sarawak, Melaka, dan Johor. Malah, persiapan awal juga diperlukan untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) walaupun tarikhnya masih belum ditentukan.
“Bersatu walaupun masih muda, telah mencatat pencapaian besar seperti melahirkan dua Perdana Menteri serta pengurusan pandemik Covid-19 yang diiktiraf dunia. Namun, kita tidak boleh hidup dalam kegemilangan masa lalu. Rakyat kini mahukan sesuatu yang baharu,” tegasnya.
Saifuddin menegaskan, PAT ke-8 perlu melahirkan langkah konkrit dan praktikal, bukan sekadar reaksi terhadap keadaan semasa. Beliau mencadangkan parti memperkenalkan reset politik dengan menzahirkan Konsensus Nasional Baru, yang menekankan perpaduan antara kaum, agama, negeri, wilayah, serta pelbagai pihak berkepentingan termasuk Raja-Raja Melayu, parti komponen, NGO, golongan profesional dan akademia.
Selain itu, beliau turut menggariskan keperluan membetulkan jurang pendidikan, pendapatan, sistem cukai, dasar fiskal, serta kelemahan institusi bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Dari segi ekonomi, Saifuddin mencadangkan agar unsur nadir bumi (REE) dijadikan kekayaan baharu negara melalui penubuhan sebuah syarikat nasional, REE National Corporation Berhad (REE-NAS), sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu sepertimana kejayaan Petronas suatu ketika dahulu.
“Gagasan politik dan ekonomi ini adalah dua tonggak utama tawaran segar Bersatu untuk rakyat. Ia bukan sahaja menyusun langkah masa depan, tetapi juga memberi harapan baharu yang lebih munasabah dan menggamit imaginasi rakyat,” katanya.
