INSIDEN KAMPUNG SUNGAI BARU AKAN JADI ‘TEASER’ RUU URA JIKA DILULUSKAN – ARMADA BERSATU

KUALA LUMPUR, 12 Sept – ARMADA BERSATU Malaysia memberi amaran bahawa insiden pengosongan penduduk Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu adalah gambaran awal terhadap risiko yang bakal berlaku sekiranya Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) diluluskan di Parlimen Oktober ini.

Menurut kenyataan media EXCO ARMADA BERSATU, Muhammad Khairi Zainol Abidin, tindakan pemaju mengusir 179 penduduk secara tergesa-gesa walaupun rayuan masih menunggu di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober depan jelas melampaui batas kemanusiaan. “Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu penghinaan terhadap maruah rakyat,” katanya.

ARMADA BERSATU turut membangkitkan kebimbangan bahawa pelaksanaan Order 89 telah disalahgunakan apabila melibatkan penggunaan agensi penguat kuasa serta jentera berat, walaupun perintah tersebut tidak memberi kebenaran untuk perobohan. Kejadian itu juga menyebabkan seorang anggota polis cedera ringan dalam kekecohan.

RUU URA, yang sedang dibahaskan, mencadangkan penurunan syarat nilai ambang persetujuan pemilik rumah kepada antara 51 hingga 80 peratus bergantung pada keadaan bangunan untuk membolehkan projek pembangunan semula dilaksanakan. ARMADA BERSATU menegaskan bahawa peruntukan ini berpotensi meminggirkan pemilik minoriti dan membuka ruang kepada pemaju bertindak sewenang-wenangnya.

“Insiden di Kampung Sungai Baru akan jadi ‘teaser’ kepada apa yang bakal terjadi jika RUU URA diluluskan. Pembangunan tidak boleh dijadikan lesen untuk menindas rakyat. ARMADA menolak sebarang undang-undang yang memberi kuasa mutlak kepada pemaju tanpa budi bicara,” tegas Muhammad Khairi.

ARMADA BERSATU menyeru anak muda dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama membela penduduk Kampung Sungai Baru serta membantah RUU URA sebelum ditambah baik, demi memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara adil, berperikemanusiaan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.