TIADA KEPERLUAN TAMBAH SUBJEK KARAKTER – PERKUKUH NILAI DAN KARAKTER DALAM SUBJEK SEDIA ADA – ASHRAF MUSTAQIM

JERLUN, 17 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, menyarankan agar Kementerian Pendidikan menilai semula cadangan memperkenalkan mata pelajaran baharu, Pendidikan Karakter, sebagai tunjang Kurikulum 2027.

Beliau berkata, walaupun niat memperkukuh sahsiah murid amat baik, pelaksanaan dalam bentuk subjek baharu boleh menambah beban kepada guru dan pelajar yang kini sudah berdepan silibus padat serta tugasan luar pengajaran.

“Kita memahami cadangan ini buat masa ini disasarkan kepada peringkat prasekolah. Namun langkah berhati-hati perlu supaya ia tidak diperluas ke sekolah rendah dan menengah yang sudah pun sarat dengan subjek sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU itu turut menegaskan bahawa negara maju seperti Finland dan Jepun tidak menambah subjek untuk mendidik nilai, sebaliknya mengintegrasikan elemen karakter dan moral dalam semua aspek pembelajaran.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkukuh nilai dan karakter melalui penambahbaikan subjek sedia ada seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik serta memperluas nilai-nilai murni melalui aktiviti khidmat masyarakat, kempen pembudayaan dan program kesejahteraan sekolah.

Menurut Ashraf Mustaqim, kementerian seharusnya menilai semula struktur keseluruhan kurikulum dan mengenal pasti subjek yang benar-benar relevan dalam membentuk nilai serta kemahiran psikometrik masa depan anak-anak, bukannya menambah lagi silibus.

Beliau turut memetik pandangan pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad, yang menegaskan ramai guru gagal menghabiskan silibus walaupun tahun persekolahan sudah separuh berlalu — tanda sistem sedia ada terlalu padat. Tambahnya, beban ini akhirnya turut ditanggung oleh ibu bapa, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, yang terpaksa membantu anak-anak belajar tanpa bimbingan profesional yang mencukupi.

Ashraf Mustaqim menyentuh isu kesihatan mental di sekolah yang kini membelenggu pelajar dan guru akibat tekanan kerja serta sistem penilaian yang kaku. Beliau menegaskan bahawa reformasi kurikulum harus berpaksikan kesejahteraan insan secara menyeluruh.