BONGAWAN, 25 OKTOBER – Ketua sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU, YB Hilman Idham menegaskan bahawa walaupun Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai “parti Malaya”, namun perjuangannya jauh lebih mulia daripada parti-parti tempatan yang selama ini merompak hasil bumi Sabah dan menyerahkannya kepada pihak luar.
“Perikatan Nasional ini parti Malaya, betul. Tapi kita lebih mulia daripada parti lokal, parti Sabah, yang rompak khazanah rakyat Sabah dan serah pada orang Malaya. Bukan satu dua ekar, tapi berpuluh-puluh hektar,” tegasnya semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya N30 Bongawan di Kampung Lanas, Kimanis, malam tadi.
Hilman Idham juga menyeru agar rakyat Sabah menolak kepimpinan sedia ada yang disifatkannya gagal mempertahankan maruah negeri, sebaliknya berjuang bersama PN bagi membentuk kerajaan baharu yang lebih bersih dan berprinsip. “Jangan berkompromi dengan pengkhianat khazanah negeri. Kita tendang mereka dari Kota Kinabalu dan ganti dengan kerajaan yang baru dalam PRN nanti”.
Majlis Pelancaran Jentera yang berlangsung dengan semangat “Era Baru Bongawan” itu melibatkan tiga pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Kimanis Estate, Mandahan Kimanis dan Gadong dan diketuai oleh Ketua ARMADA BERSATU Bahagian Kimanis, Ustaz Ridzuan Firdaus.
Ustaz Ridzuan Firdaus, yang juga EXCO ARMADA BERSATU Malaysia turut disebut-sebut sebagai bakal calon muda yang berpotensi bertanding di kerusi DUN Bongawan. Beliau muncul dengan gagasan Era Baru Bongawan sebagai tawaran segar kepada pengundi Sabah, khususnya generasi muda dalam kawasan DUN tersebut. Anak jati Kimanis berusia 35 tahun itu mahu membawa suara anak muda dan politik nilai ke peringkat negeri.
